Unit Hal Ehwal Palestin kukuhkan hubungan dua hala

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Negara akan menubuhkan Unit Hal Ehwal Palestin di Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan, untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar, berkata kerajaan kini dalam peringkat akhir untuk menubuhkan unit itu.

- Advertisement -

Katanya, unit itu akan melaksanakan aktiviti pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Palestin serta menjadi pemudah cara bantuan kemanusiaan Malaysia ke Palestin.

“Pejabat tersebut akan dibantu oleh Konsul Kehormat Malaysia yang pertama di Ramallah, Palestin yang telah pun dilantik.

“Proses pelantikan Konsul Kehormat Malaysia di Gaza juga akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya menjawab soalan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, pada tahun ini kerajaan telah menyumbang RM5 juta kepada rakyat Palestin untuk pembinaan semula Klinik Al Rimal.

Katanya, Klinik Al Rimal adalah satu-satunya makmal pengujian Covid-19 di Gaza yang musnah dibom.

Selain itu, katanya Malaysia menyumbang AS$50,000 kepada Masjid Al-Aqsa melalui Kementerian Waqaf, Jordan pada Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 21/9/2021

- Advertisement -