RM35 juta naik taraf Loji Rawatan Air Tupah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Loji Rawatan Air (LRA) Tupah akan dinaik taraf melibatkan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi meningkatkan bekalan air kepada pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Bekalan Air dan Sumber Tenaga Dato’ Suraya Yaacob berkata, peruntukan itu seperti diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob 23 Ogos lalu.

- Advertisement -

“Naik taraf berkenaan akan disegerakan secepat mungkin walaupun mengikut jadual asal akan dilaksanakan pada tahun 2023,” katanya menjawab soalan Ustaz Hanif Ghazali (PAS-Tanjung Dawai).

Sebelum itu Adun Tanjung Dawai menanyakan status LRA Tupah yang membekalkan air kepada 9,000 akaun pengguna.

“Bukan sahaja musim kemarau sahaja tiada air tetapi musim hujan pun berlaku masalah air. Jadi apakah tindakan yang dilakukan sebelum LRA Bukit Selambau boleh digunakan,” kata Hanif.

LRA Tupah antara yang terkesan akibat tragedi kepala air Gunung Jerai, 18 Ogos lalu.

Malah sebelum ini 9,000 pengguna mendapat bekalan air melalui loji tersebut, namun sering kali menghadapi gangguan bekalan air.

Suraya juga berkata, mengikut rekod LRA Tupah akan mendapat bekalan air dari LRA Bukit Selambau yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2023.

Kata beliau pembinaan lima Loji Rawatan Air dijangka siap pertengahan tahun 2023 dan awal 2024, di mana projek pembinaannya bermula Mei lepas.

Lima LRA terbabit iaitu di Pelubang, Bukit Selambau, Sungai Limau, Jenun Baru dan Lubuk Buntar Lama. – HARAKAHDAILY 21/9/2021

- Advertisement -