Kerajaan Perpaduan (UG) dan klon UG

- Advertisement -

PERKEMBANGAN politik masa kini adalah waktu terbaik bagi mereka yang ingin belajar politik. Ia sedang memasuki fasa perubahan corak politik kepartian. Zaman ‘abang besar’ politik telah berakhir. Dominasi parti hanya tinggal igauan. Mereka yang mengimpikan kembali menjadi ‘abang besar’ hanya boleh menjadi dinosaur yang akan terpamer menjadi bahan sejarah. 

Sebelum ini Presiden PAS pernah mencadangkan UG atau Kerajaan Perpaduan bagi mengelakkan penguasaan kuasa bukan-Islam. Ia ditolak termasuk dari dalam PAS yang menyebabkan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) menarik balik idea itu hingga dapat difahami. ” Saya tarik balik idea itu hingga waktu dapat difahami oleh ahli” antara maksud kata-kata, TGHH yang masih saya ingat.

- Advertisement -

Kini idea itu ‘dipaksa muncul’ kembali dengan suasana berbeza. Kecelaruan dan kekalutan politik negara menyebabkan idea itu muncul semula melalui cadangan Tun Mahathir namun ditolak. Cadangan Tun Mahathir berkenaan idea UG ditolak kerana beliau menuntut kuasa penuh menentukan Kabinet dan bukan dari cadangan parti. Idea itu sekali lagi terkubur.

Idea klon UG muncul kembali dalam beberapa langkah politik yang masih digerakkan pihak tertentu dari kem pembangkang walaupun ketika sama konsep seumpama turut ditawarkan dari pihak kerajaan sebagaimana dilakukan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tetapi tawaran yang ditolak dan dianggap sebagai rasuah kononnya oleh pembangkang. Namun tawaran itu diterima setelah Perdana Menteri baru dilantik. Walaupun keadaannya sedikit berbeza, tetapi klon ‘Kerajaan Perpaduan’ telah mula diterima.

Perlu difahami bahawa beberapa idea klon UG masih berlalu di belakang tabir. Idea jajaran baru yang sedang cuba dirasionalisasi khasnya kepada pendukung politik masih bergerak. Isu yang ada bukan lagi parti dominasi atau abang besar tetapi bagaimana menyusun atur gabungan yang lebih ‘diterima’ bagi mengolah kestabilan negara.

Tiba masanya kerangka berfikir politik perlu keluar dari merasakan partinya sebagai dinosaur kepada gabungan setara malah mungkin perlu menjadi si kancil yang kecil tetapi menjadi Raja yang berkuasa dalam kerajaan belantara. Ia diistilahkan sebagai ‘playmaker’.

Apa yang perlu difikirkan oleh umat Islam dan Melayu ialah apakah ianya dapat menguntungkan Islam dan mengekalkan ketuanan bangsa di bumi warisan ini? Parti mana yang boleh diharap mampu membawa suara Islam dan bangsa antara parti yang ada. Mungkin bukan sepenuhnya, tetapi lebih baik dan diyakini kerana prinsip dalam parti yang ada. Itu pokok persoalannya. Jangan lagi menang sorak kampung tergadai.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 21/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/6879857172028282/

- Advertisement -