Jawatan bertaraf menteri ambil kira situasi semasa

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan melantik ahli politik bagi mengisi jawatan bertaraf menteri bukan suatu pembaziran kepada negara jika kerajaan turut mengimbangi keperluan rakyat.

Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, kerajaan tentunya mengambil kira situasi semasa di mana rakyat masih bergelut dengan kemelut ekonomi dan sosial.

- Advertisement -

“Bagi mengurangkan konflik yang dibuat kerajaan itu sebenarnya, kita perlu melihat kepada motif atau tujuannya, adakah ia sesuai ataupun tidak untuk dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ketika berucap di parlimen kelmarin bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap sebagai satu pembaziran dilantik tokoh politik mengisi jawatan bertaraf menteri.

Dr Mohd Syakir juga berkata, kemungkinan Dr Mahathir melihat sudut keperluan kewangan kepada ekonomi rakyat berbanding ‘poket’ menteri itu sendiri.

“Sedangkan setiap ahli parlimen juga mempunyai gaji mereka sendiri dan keperluan untuk diberi pula berstatus bertaraf menteri berdasar sebab tertentu.

“Sebaliknya keperluan daripada kerajaan dan rakyat perlu diimbangi supaya peruntukan dibelanja untuk gaji kepada menteri itu dinilai sama ada positif ataupun negatif,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan tentunya sudah memberi penjelasan terhadap jawatan bertaraf menteri berdasar kepada keperluan semasa yang berlaku.

Kata beliau juga pelantikan bertaraf menteri diberikan adalah wajar jika mereka mempunyai peranan dan fungsi untuk membantu kerajaan.

“Bagi saya tidak menjadi masalah kecuali kalau mereka tidak mempunyai sebarang fungsi, sebaliknya sekadar diberi elaun sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/9/2021

- Advertisement -