Fasa endemik: Sejauh mana persediaan kerajaan?

- Advertisement -

SEMALAM, saya telah membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dengan membawa beberapa isu yang memerlukan penjelasan daripada kementerian yang berkaitan pada sesi jawapan Menteri esok. Antara isu pemulihan kesihatan dan vaksinasi yang sempat saya sentuh berkaitan fasa endemik, vaksinasi murid sekolah serta penjualan dan pembelian penyedut oksigen mudah alih.

Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang sentiasa komited dalam mengekang penularan pandemik COVID-19 selain berusaha ke arah pemulihan ekonomi rakyat. Tindakan kerajaan yang akan beralih ke fasa endemik pada hujung Oktober nanti bukan sesuatu yang baharu jika melihat pada situasi negara-negara lain. 

- Advertisement -

Namun begitu, Malaysia ke fasa endemik memerlukan persediaan rapi dengan merangka strategi baharu yang lebih jelas dan terperinci. Hal ini kerana, kes harian positif COVID-19 dan kes kematian harian juga masih lagi meningkat. Tahap kesedaran masyarakat untuk terus menjaga SOP juga menjadi satu kebimbangan. Kerajaan perlu memastikan rakyat jelas dan faham peranan yang perlu dilakukan selepas negara secara rasmi ke arah fasa endemik. 

Selain itu, pelaksanaan dan penyelarasan Prosedur Operasi Standard (SOP) fasa endemik juga perlu relevan dan seimbang antara nyawa dan sumber pendapatan rakyat dalam menguruskan kehidupan seharian. Kita tidak mahu SOP baharu nanti akan berubah-ubah seperti sebelum ini yang mengundang kekeliruan kepada rakyat.

Tindakan kerajaan yang akan melaksanakan suntikan dos ketiga vaksin pada awal Oktober nanti juga perlu diteliti pelbagai aspek. Antaranya, dari segi kajian dan penyelidikan yang melibatkan pakar-pakar mengenai dos ketiga perlu ditunjukkan secara umum. Saya juga mempersoalkan dari segi kajian yang dilaksanakan terhadap keberkesanan dos ketiga terutama golongan yang berisiko dalam berhadapan dengan varian baharu penularan pandemik COVID-19.

Justeru, saya mengharapkan persediaan secara signifikan untuk beralih ke fasa endemik menjelang Oktober depan diteliti secara komprehensif dengan melihat indikator kes harian COVID-19 yang masih tinggi. Hal ini juga kerana, pematuhan SOP segelintir rakyat yang masih lagi rendah amat membimbangkan selepas Selangor dan Kuala Lumpur beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada minggu lepas. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 21/9/2021

- Advertisement -