Bila Anwar terpukul dek jawapan Takiyuddin

- Advertisement -

BEBERAPA tajuk berita semalam berkenaan celahan oleh Ketua Pembangkang (bertaraf Menteri), Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap jawapan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Takiyuddin Hassan semalam, memilih untuk memberikan gambaran bahawa Menteri berkenaan dibidas atau ditempelak oleh Ketua Pembangkang.

Apabila saya menonton keratan video yang disertakan itu, tidak lah kenyataan Anwar itu sebagai satu bidasan kepada Menteri. Ia hanya-lah satu cubaan membidas yang gagal, sambil beliau memberikan contoh seorang Menteri di zaman beliau dahulu, yang sering memberikan alasan tuhan apabila berlaku bencana (sayang beliau hanya berani bersuara sekarang, bukannya dahulu ketika bersama Menteri itu) dan sekarang cuba menyamakan Takiyuddin dengan mantan Menteri terbabit.

- Advertisement -

Takiyuddin pula dengan jelas membalas, (jika tuduhan membalak itu dikatakan di Jerai) yang Jerai telah diisytiharkan sebagai National Geo Park yang tidak ada aktiviti pembalakan di sana. Dan beliau juga menegaskan lagi, melalui laporan, tiada satu pun kawasan pembalakan diluluskan di Jerai, walaupun ada diluluskan bagi 25 ribu hektar kawasan pembalakan di Kedah. Paling memalukan Anwar, Takiyuddin sendiri turun ke Jerai bagi melihat kesan kejadian itu. Anwar saya tidak tahu turun ke sana atau tidak.

Dan anda semua boleh melihat Anwar hanya tersengih-sengih mendengar jawapan yang diberikan oleh Menteri antara lain lagi menyebut ada pokok-pokok yang tercabut dengan akar-akarnya sekali, menunjukkan kekuatan limpahan air. Setelah mengetahui yang cubaan beliau untuk menggugat Kedah gagal, maka ada baiknya dia mempamerkan wajah tersenyum di sebalik pelitup muka, ‘kononnya bergurau’ dengan Menteri. Nasib baik Menteri tidak membangkitkan perihal banjir di Pulau Pinang, negeri beliau.

Kisah kejadian kepala air ini, sudah kita hadam sebenarnya. Ia jelas dan terang bahawa tiada pembalakan di sana. Setelah mereka, ketika itu gagal mensabitkan ia dengan balak, dituduhnya pula dengan aktiviti kuari dan akhirnya dek kerana tiada arah, maka Jabatan Amal bersolat di atas batu pula mereka jadikan lauk bagi memfitnah.

Apa yang saya cuba nyatakan di sini ialah sikap pemberita yang cuba mengalihkan perhatian pembaca dengan penyediaan tajuk yang mahu mengenakan orang. Memperbesarkan apa yang kecil. Ini kerana cara penerimaan pembaca terhadap berita sekarang ialah dengan hanya membaca tajuk, kemudiannya mereka membuat tafsiran mereka sendiri.

Kita sering bercakap mengenai fitnah di media sosial kerana ramainya ‘netizen’ yang cuba menjadi wartawan jadian, menulis berita sesedap rasa. Kita marah kerana sikap itu, kerana menjadikan fitnah bertebaran. Namun dalam masa yang sama, segelintir wartawan juga menyerlahkan sikap yang sama, hanya sahaja mereka menggunakan lesen kewartawanan mereka.

Tiadakah rasa malu di hati mereka dengan sikap sebegini? Apatah lagi, berita itu disertai juga dengan keratan video yang jelas boleh ditonton apa sebenarnya yang berlaku dan juga di kala Malaysia memerlukan kerjasama semua bagi membina Keluarga Malaysia? Kita boleh memahami jika ini serangan waktu PRU, tetapi dalam keadaan kita mahukan perpaduan, kenapa dibuat hal sebegini?

Teringat dengan pesanan Rasulullah S.A.W yang berbunyi jika engkau tidak malu, maka lakukanlah sesukamu. Jika wartawan juga tidak boleh diharap menyebarkan kebenaran, kepada siapa lagi kebergantungan kita untuk mendapat berita benar?

MOHD NASIR ABDULLAH
21 September 2021 – HARAKAHDAILY 21/9/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -