KUALA LUMPUR: Penerimaan dan kesedaran orang ramai terhadap program vaksinasi di negara ini menjadi bukti berita palsu mengenai vaksin COVID-19 tidak berkesan dalam mempengaruhi masyarakat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata ia juga ditambah dengan pelbagai langkah yang diambil kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membendung, mencegah dan menguatkuasakan undang-undang bagi mengatasi masalah penularan berita palsu.
Beliau berkata PDRM membuka 307 kertas siasatan penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 sejak Mac 2020 hingga September ini dengan antaranya 163 kes telah diselesaikan dan 37 kes dituduh di mahkamah.
“Kalau dilihat pada angka-angka itu menunjukkan kes telah banyak diselesaikan, namun tidak dinafikan masih ada (penularan berita palsu) tetapi secara keseluruhannya, penularan berita negatif tentang vaksinasi telah banyak berkurangan dan kita ucap terima kasih kepada (kesedaran) masyarakat, dan ini juga menjadi punca kepada kejayaan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (BERSATU-Beaufort) mengenai masih terdapat pihak yang terpengaruh dengan berita palsu sehingga enggan mengambil vaksin COVID-19 pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. – BERNAMA