Orang ramai perlu ambil peluang kemudahan PERKESO

- Advertisement -

Oleh AHMAD HUSNAYAN

TAWAU:
Orang ramai diminta mengambil peluang pelbagai kemudahan dan faedah yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) Sabah, Norsah Bongsu berkata banyak pelan bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan terutamanya PERKESO kepada semua golongan di negara ini.

“Bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan itu bagi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat terutamanya mereka yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

“PAS berharap agar orang ramai peka terhadap kemudahan yang diberikan oleh kerajaan kerana ia sudah pasti memberikan solusi terhadap setiap permasalahan yang dihadapi,” katanya dalam program webinar Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) dan MyFuture Job bersama PERKESO, melalui maya, kelmarin.

Justeru, ujarnya DMPN Sabah mengambil inisiatif menganjurkan webinar bersama pihak PERKESO bagi mendapatkan input berkenaan pelan bantuan dan faedah yang disediakan oleh pertubuhan tersebut.

“Kami menyedari banyak sektor ekonomi yang terjejas, kehilangan pekerjaan dan menyebabkan tekanan kepada institusi kewangan di negara ini.

“Ahli PAS juga tidak terkecuali menghadapi tekanan hidup dan tejejas sumber pendapatan selama dua tahun wabak Covid-19 melanda negara kita,” katanya.

Norsah berkata, DMPN Sabah mahu memberikan pendedahan kepada orang ramai berkenaan skim dan faedah yang ditawarkan oleh PERKESO.

“Kita mahu memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan berdaftar dengan PERKESO supaya nasib mereka terbela sekiranya berlaku musibah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO Sabah, Roslan Jimran berkata pihaknya banyak memberikan pelan kemudahan kepada setiap pencarum termasuklah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Katanya, SIP adalah sistem perlindungan pekerjaan untuk menyediakan insurans pekerjaan, perkhidmatan pekerjaan dan maklumat pasaran buruh (LMI).

“Bagi pencarum yang kehilangan pekerjaan bermula 1 Januari 2018 mereka boleh membuat permohonan SIP atau dikenali sebagai Employmee Insurance System (EIS).

“SIP menyediakan program penempatan pekerjaan semula dan faedah tunai interim selepas pengesahan hilang kerja diterima oleh PERKESO iaitu sebanyak RM600 selama tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Sistem Insuran Pekerjaan (Perkhidmatan Pekerjaan) PERKESO negeri, Wan Sri Alliffa Wan Osman berkata, pihaknya telah menyediakan peluang pekerjaan.

“Kami memudahkan para pencari kerja dan majikan yang mencari pekerja sama ada kemudahan melalui laman web ataupun pelbagai program yang disediakan oleh PERKESO.

“Kami menggesa individu yang masih menganggur untuk mendaftar di portal MyFuterJobs www.myfuturejobs.govmy atau menyertai e-Kerjaya PERKESO pada 25 September ini,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Lajnah Pekerja Pekerja dan Pengguna DMPN Sabah merangkap pengarah program, Aznah Tandek. – HARAKAHDAILY 20/9/2021

- Advertisement -