MAIWP lulus dana zakat RM937,000 untuk Gerobok Rezeki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, tidak semua insan bernasib baik dalam menjalani kehidupan terutamanya di tengah bandar raya.

Sehubungan itu, beliau merasa sayu apabila melihat mereka yang hadir dalam majlis Perasmian Pelancaran Gerobok Rezeki Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Masjid Al Khadijah, Pantai Dalam, di sini pagi tadi.

“Ada yang terpaksa membanting tulang dan memerah keringat demi kelangsungan hidup sekeluarga dalam fasa pandemik yang melanda negara kita,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Beliau yang merasmikan program tersebut berkata semuanya demi memastikan keluarga terus bertahan dalam era pandemik ini.

Menurutnya, program Gerobok Rezeki MAIWP berfungsi untuk membantu masyarakat terutamanya yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan membekalkan barangan keperluan harian tanpa syarat.

Katanya lagi, antara barangan yang diagihkan secara bulanan adalah seperti barangan makanan kering, kelengkapan mandian, pelitup muka dan hand sanitizer.

Beliau berkata, bagi membiayai pelaksanaan program Gerobok Rezeki di masjid dan surau, MAIWP telah meluluskan dana zakat sebanyak RM937,000 dengan melibatkan 89 buah masjid dan 123 surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Melalui pelaksanaan program Gerobok Rezeki, saya yakin sikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang dialami oleh keluarga yang memerlukan, dan saya berharap usaha ini dapat dipergiatkan dengan lebih lagi,” ujarnya yang turut mengucapkan tahniah kepada MAIWP.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya. – HARAKAHDAILY 20/9/2021

- Advertisement -