Langkawi jadi panduan buka destinasi pelancongan lain

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Projek Rintis Gelembung Perlancongan usaha sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri di Langkawi akan dijadikan garis panduan kepada pembukaan destinasi pelancongan yang lain.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau mengharapkan gelembung pelancongan di pulau itu berterusan dan berjaya selain lebih banyak lagi destinasi pelancongan dapat dibuka selepas ini.

“Pembukaan destinasi pelancongan ini sebenarnya memberi peluang kepada rakyat untuk menghilangkan stress (tekanan) sebab lebih setahun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

“Jadi, saya menjemput pengunjung dari seluruh negara datang ke Langkawi tetapi dalam masa yang sama perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MOTAC dan MKN,” kata beliau pada sidang media secara atas talian, hari ini.

Jelasnya lagi, dilaporkan seramai 3,200 pengunjung pada hari pertama pembukaannya 16 September lalu manakala pada hari berikutnya terutama selepas cuti hujung minggu (Ahad) dianggarkan 2,000 orang.

Ujarnya, angka itu berdasarkan tempahan hotel dan perkhidmatan pengangkutan sementara dilihat semakin meningkat dalam tempoh seminggu ini.

Menyentuh berkenaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sanusi menyambut baik saranan Tuanku Sultan Kedah dalam titah ucapan agar mentransfomasi melalui penstrukturan semula.

Katanya, GLC disyorkan agar keluar dari zon selesa sebaliknya menjadikan tempat untuk melebarkan perniagaan terutama ke luar Kedah dan bukannya bergantung kepada projek kerajaan semata-mata.

“GLC pada tahun hadapan diharapkan dapat menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri dan dalam masa yang sama kita akan mengenalpasti beberapa GLC yang perlu dibuat penstrukturan semula. Tindakan ini serius dan segera,” jelasnya lagi.

Syarikat berkaitan kerajaan itu sewajarnya dianggotai oleh ahli perniagaan yang boleh menjana pendapatan dan bukannya daripada kalangan penjawat awam. – HARAKAHDAILY 20/9/2021

- Advertisement -