Kerajaan kaji sistem pembelajaran dalam talian IPT

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Hasil Kajian Kualiti Pengajaran Dalam Talian Semasa Pandemik Covid-19 di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang sedang dijalankan sejak 15 November tahun lalu akan digunakan dalam penggubalan Kertas Putih Masa Depan Pembelajaran Dalam Talian Pendidikan Tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kertas putih itu yang akan membantu IPT menambah baik pelaksanaan dan kualiti pembelajaran dalam talian, dijangka diterbitkan pada November depan.

- Advertisement -

Katanya, pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian kini menjadi suatu keperluan dengan kajian itu membolehkan kementerian mengenal pasti faktor yang mempengaruhi kualiti pembelajaran dalam talian, keberkesanan serta kesediaan pelajar, tenaga pengajar dan IPT untuk meneruskan pelaksanaan pembelajaran dalam talian.

“Empat kategori responden yang utama ialah pelajar, tenaga pengajar, kakitangan sokongan institusi serta tadbir urus IPT. Daripada perspektif pelajar, kajian yang kini di peringkat akhir memfokuskan kepada kesediaan dan penerimaan pelajar terhadap PdP dalam talian,’ katanya menjawab soalan lisan Dato’ Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) di Dewan Rakyat, hari ini.

Noraini berkata, kajian itu juga mengukur aspek tahap kesediaan pelajar menjalani pembelajaran kendiri, keberkesanan infrastruktur, komunikasi dalam talian, serta kawalan diri dan motivasi pelajar.

Katanya, sebahagian daripada dapatan awal kajian menunjukkan bahawa 92.82 peratus IPT di negara ini mempunyai Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS).

“Daripada jumlah itu, 62.2 peratus IPT membangunkan LMS secara sendiri dan baki menggunakan perkhidmatan dari luar institusi.” katanya.

Berhubung kesan terhadap emosi pelajar, katanya dapatan awal menunjukkan 78.4 peratus pelajar tidak berasa tertekan dengan PdP dalam talian.

Sementara itu, katanya kementerian dengan kerjasama Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia telah menyiapkan satu kajian bertajuk, ‘Kesan Covid-19 Terhadap Kebolehpasaran Graduan’.

Katanya, tujuan utama kajian ini adalah untuk mengkaji kesan Covid-19 terhadap kebolehpasaran graduan serta mencadangkan tindakan intervensi bagi menangani isu ini.

“Skop kajian termasuk menjalankan ramalan impak terhadap kesan pasaran untuk graduan sedia ada dan bakal graduan akibat pandemik dengan mewujudkan senario pasca Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2021

- Advertisement -