Kerajaan belanja RM1.53 bilion bantu pesawah

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM1.53 bilion untuk meneruskan program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha tanaman padi di seluruh negara, tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata bantuan yang bertujuan memastikan kelangsungan industri padi beras negara memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 pesawah dengan mengurangkan sehingga 60% daripada jumlah keseluruhan kos pengeluaran padi.

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya kerajaan sedang dalam proses mengalihkan orientasi pemberian subsidi dan insentif daripada input kepada output secara beransur-ansur.

“Sebagai contoh, program bantuan output pertanian bersubsidi, iaitu Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) telah dinaikkan daripada RM300 kepada RM360 bagi setiap 1 tan metrik padi bersih mulai Januari 2019 yang bermatlamat untuk menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi di kalangan pesawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk mengkaji pemberian subsidi berasaskan output dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi negara serta terus menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah.

Ronald berkata, kerajaan memperkenalkan lima program bantuan subsidi dan insentif kepada industri padi dan beras negara bagi memastikan kelangsungan pengeluaran padi dan beras negara serta mampu menampung keperluan pasaran domestik dan menjanakan pendapatan pesawah.

Katanya, empat program bantuan subsidi bagi input pertanian adalah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Baja dan Racun Padi Bukit atau Huma (SBRPB) dan Skim Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

“Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) pula adalah program bantuan subsidi bagi output pertanian apabila pesawah menjual hasil tanaman bagi mendapatkan insentif,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/21

- Advertisement -