Jangan menghasut rakyat membenci Islam

- Advertisement -

SELEPAS Lim Guan Eng kini muncul suara-suara lain yang keras menentang Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355. Dan saya percaya ianya tidak akan berkesudahan.

Usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dilihat kononnya sebagai permulaan kepada sebuah negara Islam yang akan melaksanakan Hudud dan menjadikan Malaysia satu lagi negara Taliban.

- Advertisement -

Mengapa Malaysia yang merupakan sebuah negara demokrasi berparlimen mahu dikaitkan dengan Taliban? Sudah pasti di sana ada motif jahat untuk mencemarkan Islam dan menghasut rakyat khasnya yang bukan-Islam agar menolak sebarang usaha untuk memperkasakan ajaran agama ini walau hanya di kalangan sesama Muslim.

Bagi saya penentangan seperti ini dan dengan jahat mengaitkan pula usaha pemerkasaan institusi Islam dalam negara dengan keganasan adalah satu tindakan yang cukup biadab dan tidak bertanggungjawab. Ia sesungguhnya komplot untuk membakar api kebencian sesama rakyat Malaysia.

Perdana Menteri sendiri dalam jawapannya kepada Dewan Rakyat telah memaklumkan proses yang sedang dan bakal dilalui RUU355 ini yang masih di peringkat draf. Selepas dimuktamadkan kata Perdana Menteri ia akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil.

Kata Perdana Menteri lagi sepanjang 2020 dan 2021 kerajaan melalui JK Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil yang diperkenankan penubuhannya oleh Majlis Raja-raja di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) telah mengadakan beberapa siri mesyuarat membincang dan meneliti RUU355 ini.

Mahkamah dan Undang-undang Syariah serta institusi yang berkaitan dengannya di Malaysia adalah hak dan amalan umat Islam sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan dan di bawah lindungan Raja-raja Melayu. Ia dibawa dan diluluskan bukan sewenang-wenangnya tetapi melalui proses undang-undang.

Mengaitkan ia dengan Taliban dan menggambarkan sebarang pelaksanaan di bawahnya sebagai ganas adalah penghinaan ke atas rakyat Malaysia yang beragama Islam dan Raja-raja Melayu. Cukup-cukuplah bertindak melampau.

Keluarga Malaysia menghormati, menjaga dan memelihara hak sesama warga. Sentiasa toleran dan bertolak ansur. Tindakan Guan Eng dan mereka yang menjadi tali barutnya ternyata memusuhi konsep Keluarga Malaysia ini.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 20/9/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100009880363600/posts/1599695540369776/

- Advertisement -