Guru besar hampir menitis air mata melihat akhlak petugas PAS

- Advertisement -

Oleh JANIRA AIN ABU BAKAR

KOTA KINABALU:
Jiwa Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sugud, Hamzah Ismail tersentuh dengan pengorbanan para petugas PAS dan anggota Jabatan Amal yang membantu membersihkan sekolah itu akibat banjir, semalam.

Beliau mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga dan perasaan itu menurutnya ‘tidak dapat digambarkan dengan kata-kata’.

- Advertisement -

Sebagai seorang pendidik, beliau sangat berbangga dengan akhlak yang ditunjukkan oleh anggota Jabatan Amal dan Briged Muslimat.

“Saya hampir menitiskan air mata, kerja berat mengangkat tanah, masuk sahaja waktu (solat), ada yang melaungkan azan dan terus berhenti, mengerjakan solat.

“Inilah yang menjadi harapan saya sebagai guru. Rasa sangat terharu, kamu dapat menjaga solat dengan bagus,” ucap beliau kepada kira-kira 30 petugas misi pembersihan tersebut.

Menurutnya, keadaan sekolah sebelum itu seperti sudah total lost’kerana kerosakan teruk akibat banjir.

Namun, dengan bantuan yang diberikan oleh para petugas PAS memang sangat meringankan beban pihak sekolah.

Yang menariknya, salah seorang petugas yang terlibat adalah seorang ibu kepada tujuh anak.

Jelas, anak yang ramai bukan menjadi penghalang Noorsheela Shamsuddin untuk bersama mencurah bakti kepada masyarakat sekiranya diperlukan.

Beliau yang merupakan suri rumah akan memastikan kerja rumah dan keperluan anak-anaknya selesai.

Baginya, keluarga tetap diutamakan tanpa mengabaikan tuntutan gerak kerja.

“Jika urusan selesai di rumah, saya sedia turun apabila diperlukan,” ujarnya.

Menurut petugas-petugas lain, perkataan penat tidak pernah terkeluar daripada mulutnya sepanjang misi berlangsung.

Sesekali, Noorsheela dilihat menghubungi anak-anak bagi memastikan keadaan mereka di rumah.

Misi tersebut yang sudah masuk hari kedua semalam disertai oleh Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah, Briged Muslimat negeri, Ameerah Putatan dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan. Turut hadir Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita ADUN Dilantik, Hasima Abu Nawas merangkap Timbalan Pengarah Ameerah PAS Sabah. – HARAKAHDAILY 20/9/2021

- Advertisement -