Anggota Bomba dijangkiti kesan penularan komuniti

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Sebanyak 90 peratus daripada 14,500 warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya menyasarkan 100 peratus dalam kalangan anggota dapat dicapai dalam masa terdekat.

Katanya, sehingga sekarang hanya kira-kira 10 peratus sahaja anggota Bomba dan Penyelamat masih belum divaksin.

- Advertisement -

“Kita menyasarkan 100 peratus anggota Bomba akan divaksin kerana tugas mereka yang berhadapan dengan orang ramai terutama bagi menghadapi tugas ketika musim banjir.

“Setakat ini kita tiada menerima sebarang laporan atau maklumat yang mengatakan mereka enggan menerima suntikan kecuali mempunyai masalah kesihatan dan isu teknikal seperti tiada aplikasi MySejahtera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong dekat sini, semalam.

Menurutnya juga bagi anggota yang mempunyai masalah tiada aplikasi MySejahtera diminta mendaftar menggunakan telefon bimbit ahli keluarga atau di kaunter pusat pemberian vaksin (PPV).

Mohammad Hamdan juga berkata, setakat ini seramai 125 pegawai dan anggota Bomba disahkan positif Covid-19 dan menjalankan kuarantin kendiri.

“Mereka yang positif itu dikenal pasti berlaku jangkitan bukan ketika melakukan tugasan, sebaliknya penularan daripada komuniti,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 20/9/2021

- Advertisement -