4,596 murid jadi anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Seramai 4,596 murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan bergelar anak yatim dan ada juga yang menjadi yatim piatu sejak wabak Covid-19 melanda negara ini.

Mengikut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, setakat 13 September lalu, seramai 4,422 murid kehilangan ibu atau bapa atau penjaga, manakala 154 murid kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka.

- Advertisement -

Menterinya, Dato’ Seri Rina Mohd Harun, berkata keadaan itu menyebabkan kementerian mengambil inisiatif melalui Tabung Bantuan Segera dan Bantuan Kanak-Kanak, memberi bantuan kewangan dan sokongan kepada murid berkenaan bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, kerajaan ketika pengumuman Belanjawan 2021 pada 6 November 2020, bersetuju menaikkan kadar bantuan bulanan di bawah skim Bantuan Kanak-kanak dan Bantuan Pesakit Terlantar kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi kanak-kanak bawah tujuh tahun, mereka layak menerima RM200 seorang. Bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas memperolehi bantuan sebanyak RM150 seorang. Buat kali pertama, kadar bantuan maksimum kanak-kanak dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hannah Yeoh (PH-Segambut), Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau), Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) dan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) mengenai isu yang sama di Dewan Rakyat, hari ini.

Rina berkata, kerajaan juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan ibu bapa atau penjaga, malah bantuan diberikan kepada anggota keluarga kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan itu.

Selain itu, katanya kanak-kanak boleh ditempatkan di institusi JKM jika tidak mempunyai waris atau saudara mara yang boleh menjaga mereka berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.

“JKM akan mengambil perintah sementara di mahkamah dan menempatkan kanak-kanak bersama keluarga ganti atau mana-mana orang yang layak dan sesuai atau di institusi penjagaan kanak-kanak yang selamat.

“Sebanyak tujuh institusi JKM ditetapkan mengikut zon untuk jagaan dan perlindungan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

“Institusi berkenaan ialah Rumah Kanak-kanak (RKK) Pokok Sena, Kedah; Taman Seri Puteri (TSP) Batu Gajah, Perak; TSP Cheras, Selangor dan Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka; RKK Mini Kelantan; TSP Kota Kinabalu, Sabah dan TSP Kuching, Sarawak,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/21

- Advertisement -