Wakil rakyat usaha pastikan banjir kilat tidak berulang

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: ADUN Beserah, Andansura Rabu telah turun padang meninjau sendiri keadaan banjir kilat dan mengenal pasti punca kejadian yang berlaku di Kampung Alor Ladang, di sini baru-baru ini.

“Isunya di sini sistem perparitan yang dibina dengan cara tidak baik dan betul. Jadi untuk penduduk ia menjadi satu masalah kerana sistem perparitan itu tidak diselenggarakan dan tidak dibina dengan betul.

- Advertisement -

“Maka saiz parit itu tak cukup untuk menampung air bila hujan lebat. Masalah kedua apabila sistem perparitan itu melalui tanah milik persendirian. Agak sukar untuk diselenggarakan kerana mengikut prosedur, tak boleh diceroboh, kena minta izin terlebih dahulu dari tuan tanah,” jelasnya. 

Menurut beliau selain dari perkara tersebut, punca banjir ini juga adalah disebabkan pembangunan taman-taman perumahan yang kian bertambah di sekitar kawasan tersebut tetapi menggunakan perparitan sama. 

Katanya, projek pembangunan ini perlukan sistem perparitan yang betul agar ada pengaliran air terus ke takungannya, bukan separuh jalan seperti yang berlaku di mana menjadi punca air tersumbat apabila hujan turun dengan lebat. 

Beliau akan berusaha menyelesaikan masalah ini dengan membawa ke perbincangan bersama pihak berwajib iaitu Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Kuantan, Jabatan Perparitan dan Saliran serta pemilik tanah berkaitan. 

Menurut beliau, untuk melaksanakan baik pulih atau penyelenggaraan tersebut pihak berkaitan juga memerlukan kelulusan peruntukan dan proses tertentu yang akan mengambil sedikit masa.

“Kena buat kontrak asing kerana tidak termasuk dalam konsesi di situ. Jadi kena buat macam projek lain, kontrak baru kena ambil bajet. Jadi mengambil proses lambat sedikit, walau bagaimanapun kita harapkan agar agensi terlibat dapat mengambil tindakan segera,” ujarnya.

Lawatan tinjauan beliau itu turut bersama Penghulu Mukim Beserah Nassaruddin Ahmad dan wakil daripada Bahagian Kejuruteraan Daerah Kuantan. 

Sementara itu, seorang penduduk di Kampong Alor Ladang, Juita Abdullah menyatakan bahawa keadaan tersebut telah lama berlaku di mana air bertakung turut menyebabkan kerosakan jalan kecil yang digunakan penduduk

Beliau berterima kasih kepada Andansura selaku wakil rakyat yang telah turun padang meninjau keadaan berlaku dan mengharapkan agar perkara ini dapat diambil tindakan segera. – HARAKAHDAILY 19/9/2021

- Advertisement -