Suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 awal Okt

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan akan memulakan suntikan dos ketiga (penggalak) vaksin Covid-19 pada awal Oktober ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, hal itu selaras sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Sungguhpun begitu, katanya untuk peringkat permulaan akan menyasarkan golongan rentan (berisiko) iaitu warga emas yang mempunyai penyakit kronik, petugas barisan hadapan yang berisiko, individu yang rendah imunitinya serta mereka yang bekerja di rumah penjagaan warga emas.

- Advertisement -

“Kita mulakan pada awal Oktober ini untuk golongan rentan dahulu. Penumpuan kepada golongan rentan ini kerana kebanyakan kematian serta positif Covid tahap lima dan dimasukkan ke ICU adalah dari golongan ini,” jelasnya dalam sidang media di Wisma Darul Aman sempena lawatan kerjanya ke Kedah, hari ini.

Katanya lagi, banyak negara telah melaksanakan dos penggalak atau dos ketiga, antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura.

Dos ketiga ini maklumnya sebagai tambahan untuk meningkatkan sistem umuniti tubuh untuk melawan virus Covid-19.

“Sungguhpun begitu, buat masa ini belum ada keputusan untuk melaksanakan dos ketiga ini kepada semua. Ia masih dalam peringkat perbincangan. Di Amerika Syarikat pun menyasarkan individu berumur 65 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik dan berisiko sahaja,” tambah beliau lagi.

Berkenaan aduan orang ramai berkenaan tiada sijil vaksinasi di aplikasi Mysejahtera, pihaknya telahpun mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mengambil tindakan menyelesaikannya.

Beliau berkata, 95,000 daripadanya berpunca daripada status penerima vaksin masih terikat dengan akaun MySejahtera sementara 71,000 berpunca daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tidak melengkapkan proses dokomentasi individu yang telah selesai menerima dua dos vaksin.

“Dalam tempoh seminggu MySejahtera telah menyelesai 500,000 individu ketiadaan sijil vaksin dalam aplikasi manakala 200,000 lagi akan dikemaskini dalam tempoh terdekat.

“Saya mengharapkan MySejahtera memantau aduan-aduan di media sosial agar aduan itu segera diselesaikan.

“Buat sementara individu yang belum mempunyai sijil vaksinasi digital bolehlah menggunakan kad fizikal yang dikeluarkan oleh PPV,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/9/2021

- Advertisement -