Sidang Dun: Mukhriz dinasihat teliti saranan KKM

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jitra, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dinasihatkan agar meneliti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum menyalah mana-mana pihak.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, keputusan memendekkan masa Sidang Dun daripada tujuh jam ke empat jam sehari adalah saranan KKM bukannya kehendak Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Perkara itu katanya berikutan Kedah masih di Fasa Satu Program Pemulihan Negara (PPN) dan bersidang di tempat yang tertutup.

- Advertisement -

“Walaupun kesemua Adun telah lengkap dua dos vaksin namun berada di dalam ruang yang tertutup dalam tempoh lama boleh mendatangkan risiko, lebih-lebih lagi kita sedang menghadapi ancaman varian Delta dan Gama,” kata beliau yang juga Adun Sungai Limau dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya lagi, Mukhriz sewajarnya hadir taklimat bersama KKM yang diadakan secara di atas talian pada 13 September namun malangnya beliau hanya menghantar wakil.

“Sepatutnya beliau (Mukhriz) kena hadir tapi dia hanya hantar wakil. Tentulah tertinggal banyak informasi,” tambah Azam lagi.

Adun Jitra itu baru-baru ini melahirkan ketidakpuasan apabila Sidang Dun yang akan diadakan pada 20 hingga 24 September ini dipendekkan masa daripada tujuh jam kepada empat jam setiap hari.

Mukhriz melalui kenyataan yang disiarkan oleh sebuah media tempatan mengatakan tempoh singkat itu tidak mencukupi untuk membincangkan hal-hal bersangkutan terutama permasalahan negeri.

Sementara, kata Azam lagi, walaupun masa disingkatkan namun sesi soal jawab pertanyaan lisan, perbahasan dan penggulungan Exco dan Menteri Besar tetap diadakan manakala tempoh empat hari berturut-turut itu cukup untuk memutuskan perkara-perkara penting mengikut peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

“Jika Adun Jitra mempunyai cadangan, soalan atau kritikan, boleh sahaja kemukakan melalui pelbagai kaedah dan platform. Tidak semua harus diselesaikan dalam Sidang Dun semata-mata.

“Malah saya percaya, apa saja buah fikirannya selaku bekas Menteri Besar Kedah termasuk Adun-Adun lain akan diterima Sanusi sekiranya munasabah dan ada kebaikan kepada rakyat,” katanya lagi.

Sidang Dun Kedah akan bermula esok sehingga 23 September selama empat hari di Wisma Darul Aman sementara Perasmian Titah Tuanku Sultan Kedah akan diadakan secara di atas talian.

Jumaat lalu semua Adun dan yang berkaitan diadakan ujian saringan Covid-19 (swab test) secara pandu lalu untuk memastikan semua yang hadir negatif wabak terbabit. – HARAKAHDAILY 19/9/2021

- Advertisement -