Sidang Dun Kedah diadakan empat jam sehari

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Persidangan Dun Kedah yang akan bermula esok hanya boleh diikuti petugas media secara di atas talian (secara maya) tanpa kehadiran fizikal di Kompleks Wisma Darul Aman.

Perkara tersebut dimaklumkan Penolong Setiausaha, Permodenan Pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jumaat lepas kepada media.

- Advertisement -

Menurutnya, semua media boleh mengikutinya secara langsung melalui laman sosial Kerajaan Negeri Kedah dan akan dibekalkan soalan Dun dalam bentuk soft copy.

Katanya, satu pautan WEBEX akan disediakan bagi membolehkan petugas media mendengar dan mengemukakan soalan pada sesi sidang media.

Katanya keputusan itu sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan Kedah masih berada di fasa satu.

“Pentadbiran berusaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada semua media, namun dalam masa yang sama perlu mematuhi ketetapan yang diputuskan.

“Pentadbiran juga bersedia membantu mendapatkan info serta input tambahan sekiranya perlu,” maklumnya lagi.

Berikutan itu foto dan visual akan dimuatnaik oleh urusetia kepada pihak media. Sidang Dun Kedah akan berlangsung selama empat hari bermula esok sehingga 23 September ini.

Persidangan kali ini juga menghadkan tempoh kepada empat jam setiap hari untuk mengelak sebarang risiko atau implikasi yang tidak diingini.

Semua Adun dikenakan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu pada Jumaat lalu untuk memastikan pihak yang terlibat bebas daripada wabak terbabit.

Titah Perasmian Tuanku Sultan Kedah juga diadakan secara di atas talian pada hari pertama persidangan, esok. – HARAKAHDAILY 19/9/2021

- Advertisement -