Pengurus jenazah: ‘Frontliners’ yang tidak didendang

LARUT: Para petugas pengendalian jenazah COVID-19 perlu diberi penghargaan sewajarnya berikutan proses menguruskan jenazah tersebut agak sukar kerana melibatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, ini melibatkan proses tayamum, solat dan pengebumian jenazah.

“Memetik Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, pengurus jenazah termasuk penggali kubur agar diberi penghargaan dan mereka merupakan petugas barisan hadapan juga.

“Saya bersama penggali kubur dan pengurus jenazah hari ini sebagai tanda keprihatinan dan solidariti kepada mereka yang mungkin kurang mendapat perhatian dari pelbagai pihak sejak tahun lalu.

“Sedangkan mengurus jenazah biasa pun meletihkan, ini pula bila kita menguruskan jenazah dengan mengenakan set pakaian perlindungan diri (PPE) penuh dari mula hingga selesai proses,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai menguruskan jenazah pesakit COVID-19 yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tua, Bukit Bertam, di sini semalam.

Setakat 18 September, 13 kematian dicatatkan di bawah pengurusan Hospital Selama berkaitan COVID-19 melibatkan jenazah berumur 14 tahun sehingga 83 tahun yang diuruskan Unit Forensik Hospital Selama.

Seramai 37 pesakit COVID-19 dari tahap satu hingga tahap empat ditempatkan di wad COVID-19 Hospital Selama dan kapasiti penuh setakat ini adalah sebanyak 68 katil.

Naib Pengerusi GTO Larut, Alias Mulob dalam pada itu berkata, skuad Pengurusan Jenazah COVID-19 di bawah organisasi tersebut aktif membantu Hospital Selama dalam mengendalikan jenazah COVID-19.

“Team Cangkul atau Biro Pengurusan Jenazah GTO Larut mengebumikan jenazah COVID-19 sejak tiga bulan lalu dan bekerjasama dengan hospital untuk mengebumikan jenazah COVID-19.

“Sehingga hari ini lebih kurang 15 sukarelawan sedia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menguruskan jenazah,” jelasnya.

Beliau turut menyeru agar orang ramai menyumbang ke Tabung Sukarelawan Skuad GTO Larut menerusi akaun Maybank GTO Larut 5582 1151 7233. – HARAKAHDAILY 19/9/2021