Manfaat ilmu kewartawanan untuk berkhidmat kepada parti

- Advertisement -

Oleh AHMAD HUSANAYAN

TAWAU:
Ketua Penerangan PAS Sabah, Ahmad Dullah berkata wartawan sangat diperlukan bagi membantu parti melaporkan setiap aktiviti yang dijalankan.

Sehubungan itu, ujarnya PAS negeri akan sentiasa menganjurkan bengkel kewartawanan supaya parti tidak ketandusan pemberita yang berkaliber.

- Advertisement -

“Saya berharap ahli PAS yang mengikuti bengkel tersebut mampu menulis dengan baik dan boleh menyumbang berita kepada mana-mana media yang ada di negara ini terutamanya Harakah,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Kewartawanan Rakyat, hari ini.

Bengkel anjuran Unit Akademi Latihan Penerangan PAS negeri yang diadakan secara atas talian yang bermula semalam itu disertai oleh kira-kira 100 ahli PAS seluruh negeri.

Beliau berharap para peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diterima daripada bengkel tersebut dan terus memberikan khidmat kepada lajnah penerangan di kawasan masing-masing.

Ahmad berkata, ahli PAS yang mahu menjadi wartawan perlu menulis mengikut etika dan sumber yang betul supaya ia boleh membawa manfaat kepada pembaca.

“Setiap penulisan kita akan memberikan kesan kepada pembaca, selain ia berkait rapat dengan dosa dan pahala.

“Mereka yang sudah mendapat ilmu kewartawanan pula perlu ikhlas untuk menyumbang berita walaupun tidak diarah atau tidak mempunyai jawatan dalam parti,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan semua peserta kursus sentiasa konsisten menulis berita dan jangan sia-siakan ilmu yang diterima demi kebaikan diri sendiri dan parti. – HARAKAHDAILY 19/9/2021

- Advertisement -