Bomba tumpu enam negeri hadapi banjir

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa mempertingkatkan perkhidmatan logistik dan operasi menyelamat bagi menghadapi musim tengkujuh susulan perubahan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda tidak lama lagi.

Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya menjangka kejadian banjir besar akan berlaku sebagaimana tragedi ‘bah 2020’, yang akan melanda Kelantan mahu pun negeri lain.

- Advertisement -

Katanya, berdasarkan pengalaman menghadapi bencana sebelum ini, jabatan itu membuat perancangan lebih awal untuk memastikan sebarang kemungkinan apabila banjir melanda.

“Sebanyak enam negeri akan diberi fokus lebih iaitu Sabah, Sarawak, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Mengikut ramalan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, kemungkinan bencana banjir tahun ini hampir sama atau lebih sedikit berbanding yang berlaku pada 2020.

“Kerana tahun 2020 adalah tahun mencabar dan bencana tersebut lebih besar,”’ katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa lawatan kerja ke JBPM Kelantan, di sini hari ini.

Malah katanya, pengalaman tahun 2020 banyak kawasan yang tidak pernah berlaku banjir, namun dilanda bencana itu dengan begitu dahsyat.

Oleh itu katanya, pengalaman tersebut menjadikan JBPM lebih bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan serta mengambil langkah dengan tidak hanya bergantung kepada kawasan-kawasan ‘hotspot’ sahaja yang sering dilanda banjir sebaliknya memperluaskan lagi ke lokasi-lokasi lain.

Bagaimanapun katanya, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menyimpan barang-barang berharga di tempat yang lebih selamat bahkan perlu untuk mengetahui lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan dengan kawasan tempat tinggal.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, segala aset-aset JBPM sudah berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh tahun ini. – HARAKAHDAILY 19/9/2021

- Advertisement -