Bengkel kewartawanan beri manfaat kepada peserta

- Advertisement -

Oleh NURUL HAZIMAH

TAWAU:
Setiap ahli PAS terutamanya golongan muda di daerah ini perlu mengikuti Bengkel Kewartawan Rakyat bagi membantu menyalurkan hebahan aktiviti yang dianjurkan oleh parti.

Bengkel tersebut dilihat dapat membantu setiap ahli PAS mengetahui cara dan kaedah penulisan yang baik dalam melaporkan sesuatu aktiviti.

Ahli PAS Tawau, Atma Febrianti berkata bengkel tersebut perlu dilaksanakan setiap tahun supaya lebih ramai ahli PAS yang boleh menulis berita dengan baik.

- Advertisement -

“Saya berharap ahli PAS tidak terlepas untuk mengikuti bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh Unit Akademi Latihan Penerangan PAS Sabah di peringkat kawasan atau negeri.

“Terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjayakan bengkel hari ini dan sangat bersyukur kerana banyak ilmu yang diperolehi terutamanya memantapkan lagi penulisan berita,” katanya.

Bagi Nazri Nulhasa dari Semporna pula, melalui bengkel tersebut setiap ahli PAS dapat memberikan pengetahuan tentang pemilihan isu atau fakta yang baik untuk penulisan.

“Kita dapat mengelak daripada memberikan fakta yang bercanggah sehingga boleh menyebabkan tindakan undang-undang.

“Selain itu, ia dapat menjadikan seseorang itu lebih bersifat tabayyun tentang sesuatu isu yang hangat diperkatakan di media sosial,” ujarnya.

Peserta dari Kalabakan, Asikin Ahmad berkata, bengkel tersebut menjadi penyuntik semangat kepada para ejen penerangan untuk terus menghasilkan berita yang bermutu.

Katanya, setiap ahli PAS yang sudah mengikuti bengkel itu boleh membantu parti untuk melaporkan setiap aktiviti di kawasan mereka.

“Saya berharap bengkel tersebut dapat dimanfaatkan oleh setiap ahli PAS, sekali gus dapat menyumbang bakti kepada parti untuk tersu relevan di negara ini,” katanya.

Terdahulu, bengkel selama dua hari yang dianjurkan oleh Unit Akademi Latihan Penerangan PAS Sabah secara atas talian itu telah disertai oleh lebih 100 ahli PAS seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 19/9/2021

- Advertisement -