Ada individu positif Covid dikesan masuki pasar raya

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Program vaksinasi Covid-19 untuk remaja di Kedah akan bermula esok sama ada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam atau sekolah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sehingga kini bekalan vaksin di negeri itu mencukupi untuk menampung jumlah yang disasarkan.

“Di Kedah terdapat lebih dari 180,000 remaja yang akan divaksinkan. Buat masa ini bekalan vaksin mencukupi dan dijangka vaksinasi akan selesai dalam tempoh sebulan untuk melengkapkan kedua-dua dos,” kata beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya juga Kedah perlu memberi fokus untuk meningkatkan jumlah vaksinasi berikutan terdapat 17 peratus penduduk dewasa belum menerima dos pertama.

Ujarnya, bekalan vaksin mencukupi malah berlebihan, justeru itu usaha memastikan jumlah berkenaan menerima imunisasi terbabit perlu disegerakan agar matlamat 90 peratus dewasa lengkap menerima dua dos berjaya dicapai dengan segera.

“Daerah Baling dan Pendang merupakan daerah paling terbelakang vaksinasi. Saya harap Menteri Besar dapat mengambil perhatian perkara ini.

“Selain itu kerjasama daripada pemimpin masyarakat, pegawai daerah dan lain perlu digerakkan agar mereka yang enggan menerima vaksin segera bertindak mendapatkan suntikan,” jelasnya lagi.

Ekoran itu beliau berharap jawatankuasa masjid serius menjalankan penguatkuasaan untuk memastikan individu yang hadir ke masjid sudah menerima suntikan vaksin.

Sementara itu Khairy turut mengingatkan pemilik premis perniagaan seperti pasar raya, kedai runcit atau sebagai agar memastikan individu yang dikuarantin di rumah tidak bebas masuk keluar ke premis seumpama itu.

Hal itu berikutan terdapat laporan 523 kes dikenal pasti melalui MySejahtera merupakan individu positif Covid-19 serta menjalani kuarantin di rumah memasuki premis tersebut, di mana 18 peratus daripadanya melibatkan pasar raya.

“Pemilik premis perlu mengawasi pintu masuk dan adakan kawalan ketat. kena lihat betul-betul status MySejahtera untuk pastikan orang ramai yang masuk bukan daripada kalangan individu yang dikurantin atau kontak rapat positif Covid,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Kesihatan itu mengumumkan sebanyak 1,510 silender oksigen akan dibekalkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Sebanyak 500 daripadanya sudah dihantar, manakala 210 akan sampai pada hari ini dan baki 800 lagi pada minggu hadapan.

Selain itu katanya HSAH juga akan menerima tambahan 10 katil ICU dan sumbangan berkenaan sebagai usaha memastikan kapasiti kesihatan di Kedah mencukupi.

“Pihak kementerian juga akan menghantar kakitangan kesihatan seperti pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat ke dua-dua hospital (HSB dan HSAH) untuk membantu mencukupkan tenaga kerja menjaga dan merawat pesakit Covid,” katanya.

Sempena lawatan kerjanya ke Kedah hari ini Khairy turut menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang diadakan aras 6, Blok E, Wisma Darul Aman. – HARAKAHDAILY 19/9/2021

- Advertisement -