Solat Jumaat di masjid: Jangan guna ‘kabel’

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:  Orang ramai diingatkan agar tidak menggunakan ‘kabel’ atau ‘orang dalam’ untuk kebenaran menunaikan solat Jumaat di masjid, sebaliknya mereka perlu datang awal bagi mendapat tempat sebelum solat bermula.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, jika tidak ada tempat untuk solat Jumaat berikutan kuota sudah mencukupi, lebih baik pulang solat Zohor di rumah.

- Advertisement -

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan orang ramai supaya pergi ke masjid-masjid berhampiran sekiranya masih ada lagi ruang untuk mereka menunaikan solat Jumaat.

“Setiap orang yang mahu solat Jumaat di masjid, tidak perlu guna ‘kabel’ atau pun melalui  ‘booking’ (tempah). Jika tempat sudah penuh, lebih baik balik solat di rumah kerana boleh dapat ‘rukhsah’. 

“Mereka boleh menunaikan solat Zohor di rumah dan tidak perlu berdiri di pekarangan masjid,” ujarnya.

Katanya lagi, tindakan menggunakan ‘kabel’ akan menimbulkan ketegangan dengan perkara yang tidak elok, seperti terdapat individu yang menyebarkan cerita yang boleh memburukkan institusi masjid.

“Apa yang dilakukan oleh pihak masjid itulah yang terbaik berdasarkan kebenaran prosedur operasi standard (SOP). 

“Mereka tak boleh tambah (jumlah jemaah) di luar bidang kuasa mereka. Misalnya, Kelantan hanya membenarkan 40 jemaah untuk solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Seramai 337 pelajar terpilih dari Parlimen Pengkalan Chepa menerima bantuan berjumlah RM250 seorang di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Marzuk lagi, setiap orang kena faham agama (Islam) ini berjalan dengan cara hukum sebenar, bukannya dengan kehendak sendiri.

Beliau turut berpendapat, tempat solat khususnya pada hari Jumaat kadang-kadang sesuai untuk ditempah, tetapi ia perlu dikhususkan contohnya untuk bilal atau kakitangan masjid.

“Kalau tak ada tempat untuk bilal dan kakitangan masjid susah juga nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -