PKRC terima sumbangan barangan perubatan

- Advertisement -

IPOH: Barangan perubatan bernilai lebih RM50,000 telah disumbangkan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Perak (PCCCI) kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Arena Badminton Perak, di sini semalam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, sumbangan tersebut bagi memenuhi keperluan peralatan perubatan di PKRC tersebut.

“Sumbangan itu pastinya dapat membantu kerajaan untuk sama sama memerangi COVID-19. Bahkan kerajaan negeri juga menyambut baik mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin membantu.

“Walaupun kelengkapan hospital masih berada pada paras mencukupi, namun ia tetap perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Antara peralatan disumbangkan oleh PCCCI termasuklah Oxygen Cylinder, Angelbiss Oxygen Concentrator, Infusion Pump dan Crank Hospital Bed dalam penyerahan yang dihadiri Mohd Akmal itu.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr Liaw Kok Toon dan Pegawai Kesihatan Daerah Kinta, Dr Asmah Zainal Abidin serta Pegawai Perubatan dan Kesihatan Primer, Dr Zainuddin Abd Hamid.

Dalam pada itu, Mohd Akmal turut mengingatkan para pesakit di PKRC untuk terus berusaha dan bersabar dalam menangani jangkitan COVID-19 yang menguji kesihatan mereka.

“Sama-sama tangani pandemik ini dan terus berdoa dan usaha ini perlu kerjasama semua pihak,” katanya lagi.

Terdahulu pada 10 September, Hospital Selama turut menerima tiga Mechanical Hi-Lo Hospital Bed yang diserahkan oleh Pertubuhan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Perak. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -