Kerajaan tanggung, kekalkan peratusan subsidi ibadah haji

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:  Kerajaan akan tetap menanggung dan mengekalkan peratusan subsidi ibadah haji rakyat di negara ini biarpun kos sebenar belum diketahui. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, kos subsidi yang akan ditanggung kerajaan itu bagaimanapun belum lagi diputuskan, namun peratusannya akan kekal seperti sebelum ini.

- Advertisement -

“Kos ibadah haji yang sebenar juga belum diputuskan kerajaan, apa lagi kerajaan Arab Saudi telah menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus. Ia berikutan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) susulan pandemik Covid-19 apabila bilangan jemaah terpaksa dihadkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang yang akan melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk menyampaikan bantuan kepada 337 pelajar terpilih dari Parlimen Pengkalan Chepa pada Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang yang bakal melanjutkan pengajian di IPT di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini,

Pada majlis tersebut, seramai 337 pelajar terpilih dari Parlimen Pengkalan Chepa menerima bantuan berjumlah RM250 tiap seorang.

Mengulas lanjut mengenai kos ibadah haji, Ahmad Marzuk berkata, kerajaan juga akan memaklumkan kepada bakal jemaah berhubung kos yang perlu dikenakan terhadap mereka.

Beliau berkata, sejak sekian lama kos haji tidak dinaikkan kerana kemampuan kerajaan dan kedudukan kewangan kukuh yang membolehkan kos itu ditanggung.

“Namun, kerajaan akan berusaha untuk memastikan peningkatan kos haji itu tidak akan membebankan bakal jemaah,” ujarnya.

Menurut Marzuk lagi, sebelum ini juga, kerajaan telah menanggung subsidi haji berjumlah hampir RM400 hingga RM500 juta setahun.

Bagaimanapun katanya,  kerajaan tidak akan menanggung  umrah, kerana ia bergantung kepada kemampuan bakal jemaah itu sendiri.

Terdahulu, laporan media melaporkan Tabung Haji menjangkakan kos haji akan meningkat pada musim haji akan datang susulan perubahan SOP ibadah itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, peningkatan kos itu sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP yang perlu dipatuhi seperti penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram yang turut dihadkan. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -