Kerajaan setuju bangunkan panduan VCM, DETS

Foto Ihsan Facebook Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk membangunkan Panduan Pasaran Karbon Sukarela Antarabangsa (VCM) dan Skim Perdagangan Karbon Peringkat Domestik (DETS).

- Advertisement -

Panduan VCM yang dibangunkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) itu akan menjadi sumber rujukan semua pihak berkepentingan yang ingin terlibat dengan urusniaga kredit karbon di peringkat antarabangsa.

Menurut Menteri KASA, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, tujuan utama pembangunan panduan VCM adalah bagi memastikan kepentingan negara dalam pelaporan perubahan iklim dan komitmen pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) negara tidak terjejas.

Katanya, melalui panduan VCM ini, kerajaan negeri atau pihak swasta yang terlibat perlu melaporkan maklumat berkaitan projek karbon yang dilaksanakan kepada KASA.

“Malaysia mempunyai obligasi untuk memastikan tiada pengiraan berganda berlaku apabila melaksanakan penyelarasan berpadanan (corresponding adjustment) kepada jumlah kredit karbon yang telah dijual di pasaran antarabangsa dan terhadap pencapaian Nationally Determined Contributions (NDC) yang telah diratifikasi melalui Perjanjian Paris di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

“Ini adalah kerana kredit karbon yang telah dijual di pasaran antarabangsa tidak boleh digunakan dalam pengiraan sasaran pengurangan pelepasan GHG negara melalui NDC,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, cadangan KASA untuk membangunkan Skim Perdagangan Karbon Peringkat Domestik (DETS) merupakan usaha memangkin sektor perniagaan karbon dalam negara.

Katanya, pembangunan DETS akan dilaksanakan secara bersama dengan Kementerian Kewangan (MoF), Bursa Malaysia dan pihak lain yang berkepentingan.

DETS adalah sebahagian daripada dasar pasaran karbon (carbon pricing) negara.

DETS berupaya mempertingkatkan kapasiti dan reputasi syarikat swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan melalui pendekatan tadbir urus, sosial, dan alam sekitar (ESG).

Pelaksanaan mekanisme carbon pricing seperti DETS oleh Malaysia dijangka akan meningkatkan keupayaan pemain industri dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Justeru kata Tuan Ibrahim, DETS adalah penting sebagai persediaan pemain industri bagi menghadapi pelaksanaan mekanisme kawalan karbon melalui perdagangan antarabangsa seperti Carbon Border Adjustment Mechanism (CBAM) oleh pihak Kesatuan Eropah pada tahun 2023.

Sementara itu katanya, kerajaan merancang untuk melaksanakan DETS secara berfasa dan satu platform urus niaga tunggal akan dibangunkan.

“Pihak berkuasa kerajaan negeri dan pihak swasta boleh memanfaatkan DETS bagi melaksanakan urus niaga kredit karbon di peringkat domestik berbanding di pasaran antarabangsa yang mempunyai kos transaksi yang tinggi dan keperluan teknikal yang lebih ketat.

“Pemakaian Panduan VCM dan pembangunan DETS ini adalah amat penting bukan sahaja untuk melindungi kepentingan negara, tetapi akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negara selaras dengan aspirasi pembangunan rendah karbon dan agenda pembangunan mampan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -