Covid-19: Adakah cerai meningkat?

SAYA mengharapkan kita sama-sama membantu bagaimana untuk menangani kesan terhadap Covid-19. Terutama yang melibatkan isu kekeluargaan. Sebab keluarga ini adalah unit asas pembentukan sebuah masyarakat. Apabila gagalnya sebuah keluarga, maka dia akan membawa kesan kepada masyarakat dan seterusnya membawa kesan kepada negara. Wawancara Wartawan Harakah, NORHANA MAT ZIN bersama Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPKWM), DATO’ SITI ZAILAH MOHD YUSOFF.

Advertisement

HARAKAH: Sejak pandermik Covid-19 Mac 2020 hingga 29 Julai 2021 kes perceraian sebanyak 71,806 pasangan di seluruh negara. Bermakna sehari sebanyak 132 pasangan di seluruh negara berdaftar untuk bercerai. Dato’ bagaimana Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPKWM) mahu mengatasi masalah ini?

ZAILAH: Memang kita menyedari banyak isu-isu yang berlaku dalam Negara kita kesan daripada pandermik Covid-19 ini. Bukan sahaja isu permasalahan tentang keluarga, tetapi juga termasuk isu mental, terjejasnya masalah ekonomi, kesihatan dan juga berlaku bercerai. Berlaku bercerai ini kerana pasangan meninggal, ada yang anak meninggal, ada yang bercerai kerana tidak tahan dengan cabaran di dalam suasana pandermik. Jadi kita sangat memahami, sebab itu kita berkongsepkan keluarga Malaysia.

Insya-Allah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang berusaha dengan pelbagai cara untuk kita menggabungkan semua agensi, semua kekuatan yang ada di kementerian kita. Kementerian juga bekerja sama dengan kementerian-kementerian lain dan juga kerajaan negeri untuk kita sama-sama menangani isu ini secara holistik.

Jadi, saya mengharapkan kita sama-sama membantu bagaimana untuk menangani kesan terhadap Covid-19. Terutama yang melibatkan isu kekeluargaan. Sebab keluarga ini adalah unit asas pembentukan sebuah masyarakat. Apabila gagalnya sebuah keluarga, maka dia akan membawa kesan kepada masyarakat dan seterusnya membawa kesan kepada negara. 

Dato’, adakah hotline yang disediakan oleh KPKWM untuk golongan bermasalah memberi kesan yang baik kepada pasangan. Apakah setelah mereka dikaunseling, perceraian itu masih tetap berlaku?

ZAILAH) Di kementerian kami, kita ada talian khas. Talian kasih 15999 dan talian WhatsApp 0192615999. Talian ini disediakan 24 jam untuk aduan, untuk sebarang permasalahan boleh diajukan dan kita akan salurkan kepada agensi-agensi yang berkaitan. Sekiranya mereka memerlukan bimbingan kaunseling, Insya Allah kita akan cari kauseling. Di bawah kementerian, ada Lembaga Kauselor Malaysia. Ramai pakar-pakar kaunselor yang ada di bawah lembaga kaunselor dalam pelbagai bidang kepakaran yang akan membantu mereka yang memerlukan perkhidmatan kaunseling.

Begitu juga di LPPKN di bawah Lembaga Penduduk dan Keluarga Negara. Kementerian ada menyediakan pelbagai program untuk kemantapan keluarga termasuk kepada mereka yang baru berkahwin, yang sudah berkahwin atau pun yang sudah menjadi nenek. Kementerian ada pelbagai modul yang disediakan, antaranya bagaimana tanggungjawab bapa, tanggung jawab ibu, tanggung jawab datuk, tanggungjawab nenek, tanggung jawab ahli keluarga dalam membentuk keluarga yang sejahtera.  

Di samping itu juga kementerian ada pelbagai program pembangunan wanita di bawah jabatan pembangunan wanita Malaysia (JPW) yang ada di setiap negeri. Jabatan menyediakan pelbagai program untuk memperkasakan wanita supaya dapat sama-sama membantu golongan ini.

Di samping itu, kementerian wanita juga mengadakan kerjasama dengan kementerian-kementerian yang lain. Sebelum ini, kementerian telah mengadakan perbincangan. Insya Allah dengan mandat yang baru yang diberikan ini, kementerian akan teruskan di mana kementerian telah mengadakan kolabirasi dengan kementerian kesihatan, kementerian agama di bawah JAKIM. Kementerian ada kerjasama dengan beberapa agensi yang ada kaitan untuk menangani kesan-kesan secara langsung atau tidak langsung yang dihadapi oleh rakyat hasil daripada pandermik Covid-19.

Nasihat Dato’ kepada pasangan-pasangan yang mempunyai masalah rumahtangga?

Nasihat saya, kepada pasangan-pasangan kena banyakan sabar. Lihat kebaikan yang ada pada pasangan, kadang-kadang kita tidak suka kepada keburukan yang ada pada pasangan, tetapi kena lihat juga kebaikan yang ada pada pasangan kita mungkin lebih banyak kepada kesilapan yang dilakukan.

Sebagaimana manusia dalam keadaan tertekan sudah tentu kadang-kadang ia bersikap luar biasa. Jadi saya berpesan kepada para isteri dan para suami bersama-sama mengharungi keluarga ini dengan penuh ketabahan. Bertimbang rasa dengan penuh kesabaran dan berilah kasih sayang yang terbaik kepada ana-anak. Masa ini, binalah dan banyakkan hubungan kita dengan Allah SWT. Apabila kita mantap dengan hubungan Allah SWT, hati kita bersih. Insya Allah, Allah SWT akan memberikan keberkatan dan ketenangan dalam rumah tangga. Antara salah satu perkara halal yang dibenci oleh Allah SWT adalah bercerai atau talaq. 

Bagi mereka yang non-Muslim, saya menyeru supaya boleh merujuk kepada pihak agama masing-masing supaya keluarga ini sentiasa dipantau dan dibimbing. Kita tak nak berlakunya penceraian. Bila berlakunya penceraian, yang menjadi mangsa adalah anak-anak. Jadi kami di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui agensi kami sama ada melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) ataupun melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) ataupun melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kementerian ada pelbagai program khusus disediakan. Kementerian ada juga lembaga kaunselor. Insya Allah, selain daripada itu kerjasama yang kementerian laksanakan dengan agensi-agensi lain untuk sama-sama tangani isu masalah keluarga dan Negara. Kita gembelingkan tenaga untuk memastikan, insya-Allah kita dapat melahirkan keluarga Malaysia yang sejahtera.

Perbincangan menangani isu masyarakat

Perbincangan dan perkongsian bersama pakar pakar di Institut Pengajian Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia. Banyak kajian yang telah dilakukan oleh para penyelidik di sini berkaitan isu sosial dan kesannya berkait dengan isu ekonomi, sikap, pendidikan, dan persekitaran memberi kesan kepada pembangunan masyarakat.

Kajian-kajian beserta cadangan tindakan terbaik bagi menangani isu-isu ini sangat membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam menterjemahkan kepada tindakan terbaik untuk kepentingan masyarakat sebaiknya.

Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada Prof. Dr. Ismi Arif Ismail,  Pengarah IPSAS UPM berserta pasukan Pegawai Penyelidik yang sangat membantu sesi perkongsian kali ini.

Sesi secara hibrid pagi ini turut dihadiri oleh Puan Rosmahwati Ishak; TKP (S) JKM, Dr. Faridah Awang; TKP JPW, En. Hairil Fadzly Md Akir; TKP (O) LPPKN, Pegawai-pegawai KPWKM, pegawai ISM serta pegawai- Pejabat YBTM.

Jadilah warganegara yang bertanggungjawab

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-64 bertemakan Malaysia Prihatin.

Sama-sama kita mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menjadi masyarakat yang sentiasa prihatin, sentiasa peka dengan suasana dan permasalahan masyarakat dalam Negara kita.

Sudah 64 tahun, negara kita merdeka. Kita berterima kasih dan terhutang budi kepada pejuang-pejuang kemerdekaan. Mereka yang telah mengorbankan keringat darah dan air mata demi kemerdekaan untuk kita kecapi sehingga hari ini.

Saya mengharapkan warganegara Malaysia sama-sama kita menjadi warganegara yang bertanggungjawab kepada negara dan sama-sama kita memelihara perpaduan. Apa lagi dalam suasana kita berdepan dengan pandermik Covid-19 ini, kita hendaklah sama-sama berganding bahu dalam apa jua kerja untuk memastikan kita sama-sama berjaya menang untuk lawan, untuk berdepan dengan Covid-19 yang melanda negara pada masa kini. – HARAKAHDAILY 18/9/2021