Pengusaha penginapan digalak laksana tempahan dalam talian

- Advertisement -

KUALA NERUS: Semua pengusaha premis penginapan pelancong di Terengganu disaran mengguna pakai sistem tempahan dalam talian bagi menerima kedatangan pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata langkah itu bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 dan masalah kesesakan di jeti-jeti pulau atau destinasi pelancongan lain yang sudah dapat beroperasi sepenuhnya bermula semalam.

- Advertisement -

“Kaedah ‘walk in’ atau kehadiran secara terus dibimbangi akan menyebabkan kesesakan apabila destinasi pelancongan terutama pulau-pulau mula dibuka pada fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sudah semestinya kita mahu aktiviti pelancongan negeri ini pulih dan kembali rancak seperti biasa, tetapi keselamatan pelancong perlu diutamakan dan penularan Covid-19 juga perlu dielakkan,” katanya selepas menghadiri taklimat prosedur operasi standard (SOP) pelancongan oleh Ketua Polis Terengganu kepada penggiat pelancongan di Pulau Redang, semalam. 

Selain itu, Ariffin turut menyarankan supaya pengusaha melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pelancong yang menginap di tempat masing-masing sebagai langkah pengesanan awal.

Katanya walaupun ujian saringan tersebut tidak termasuk dalam SOP pelancongan yang ditetapkan kerajaan, ia perlu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Sementara itu seorang pengurus sebuah resort di Pulau Lang Tengah, Wong Kim Woor berkata pihaknya telah merangka SOP tambahan sendiri bagi memastikan semua pelancong yang datang bebas daripada sebarang risiko penyakit.

Ia termasuk dengan mewajibkan pengunjung menjalankan ujian saringan Covid-19 dengan menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri sebelum memasuki bilik penginapan masing-masing.

“Jika ada kes positif Covid-19 dikesan, individu atau mereka yang datang bersama tidak akan dibenarkan meneruskan percutian mereka di tempat kami.

“Selain itu tetamu juga perlu mematuhi SOP ketat di tempat makan, lobi dan kawasan pantai,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -