Tebal turap jalan kampung mesti tidak kurang 50 mm

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Pemilik jentera pertanian terutamanya kenderaan jenis berantai disaran menggunakan jalan ladang yang disediakan bagi mengelakkan laluan berturap digunakan penduduk tidak cepat rosak.

- Advertisement -

Pegawai Khas Adun Gunung Semanggol Ahmad Rosman Razali berkata, antara faktor yang menyebabkan kerosakan jalan berturap ada hubung kait dengan struktur tanah dan penggunaan jentera berantai.

Kata beliau bagi mengelakkan jalan yang digunakan penduduk kampung mudah rosak, jentera berantai disaran menggunakan jalan ladang.

“Baru-baru ini saya bersama Penolong Jurutera Pembangunan Luar Bandar (PLB) Pejabat Daerah Kerian Saiful Nizam Mat Zin memeriksa jalan-jalan kampung yang telah siap diturap oleh kontraktor,” katanya di laman sosialnya.

Menurutnya proses pemeriksaan dilakukan dengan menggerudi bahagian-bahagian tertentu jalan yang sudah siap untuk diambil sampel dan disukat bagi memastikan kontraktor mematuhi piawaian ditetapkan.

Katanya pemeriksaan perlu dilakukan bagi memastikan standard buatan jalan memenuhi spesifikasi ditetapkan, iaitu ketebalan turapan mesti tidak kurang 50 mm.

“Tahap ketebalan itu perlu dipatuhi bagi memastikan ketahanan jalan menampung bebanan yang melaluinya. Spesifikasi pembuatan juga perlu diambil kira,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2021

- Advertisement -