Oleh KAIROL ZULHAIDI dan YUSMAN AWANG
KUALA LUMPUR: Orang ramai berharap agar kerajaan dapat menambahkan lagi kuota untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat di masjid bagi golongan yang sudah lengkap divaksinasi, memandangkan masih ramai yang tidak berkesempatan untuk turut serta terutama bagi mereka yang bekerja di pejabat.
Hasil tinjauan HarakahDaily di Masjid Negara Kuala Lumpur, di sini hari ini mendapati, rata-rata orang ramai memberikan pendapat dan saranan terhadap kerajaan berhubung dengan penambahan kuota bilangan jemaah bagi solat Jumaat dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Berkuat kuasa pada hari ini, bilangan jemaah bagi solat Jumaat yang dibenarkan telah ditambah kepada 500 orang bagi masjid di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berada di kawasan dalam Fasa Dua PPN.
Namun begitu, masih ramai yang kecewa kerana tidak dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara pada hari ini disebabkan kuota 500 orang tersebut telahpun dipenuhi seawal pukul 12 tengah hari lagi.
Menurut seorang pesara, Ahmad Selamat Ahmad, 54, dia sangat gembira kerana kerajaan telah menambahkan kuota jemaah bagi solat Jumaat berkuat kuasa hari ini.
“Saya enjoy dan berasa gembira. Ini (penambahan kuota solat Jumaat) sangat bagus untuk umat Islam. Saya sangat bersyukur kepada Allah. Ini peluang terbaik untuk umat Islam kembali menunaikan solat Jumaat di masjid. Sebab dah lama ada dalam kalangan kita yang tak berpeluang untuk solat Jumaat di masjid,” katanya.
Menurutnya, jemaah yang berpeluang menunaikan solat Jumaat di masjid bagaimanapun perlu mematuhi kesemua prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan termasuk tiada simpton jangkitan Covid-19, lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka, amalkan penjarakan sosial dan masing-masing membawa sejadah sendiri.
“Ini sangat penting untuk memastikan tidak berlaku kes jangkitan baharu Covid-19 di masjid berpunca daripada solat Jumaat. Agar kuota bilangan jemaah boleh ditambah secara beransur-ansur pada masa hadapan supaya lebih ramai umat Islam kembali berpeluang menunaikan solat Jumaat di masjid,” ujarnya.
Sementara menurut eksekutif operasi, Raimi Rodi, 34, kuota 500 orang untuk jemaah solat Jumaat itu sebenarnya masih belum mencukupi terutama bagi masjid yang besar seperti Masjid Negara.
“Kena kaji semula kuota jemaah solat Jumaat mengikut kapasiti masjid. Sebagai contohnya, bagi masjid yang besar seperti Masjid Negara ini, kalau perlu kuota perlu ditambah pada masa hadapan, mungkin 200 hingga 300 orang.
“Kalau masjid yang kecil berbanding Masjid Negara, kalau perlu, boleh dikurangkan kuota 500 orang tersebut, bergantung kepada kapasiti masjid,” ujarnya kepada HarakahDaily.
Apa yang penting, dia mencadangkan agar setiap minggu harus ada wakil masjid atau pihak berkuasa membuat pemantauan dan penilaian di masjid, khususnya ketika solat Jumaat.
“Kalau perlu tambah, tambahlah sebab bila hanya diberi kebenaran kepada 500 orang, kita kena datang ke masjid seawal jam 11 pagi. Kalau orang bekerja di pejabat, memang tak sempatlah sebab biasanya golongan ini hanya dibenarkan keluar pejabat untuk solat Jumaat pada jam 12.30 tengah hari dan ada yang tak sempat makan.
“Kaji semula bagaimana caranya agar tempoh jemaah berkumpul dalam masjid untuk solat Jumaat dipendekkan. Bagi saya, kalau dah masuk ke masjid untuk solat Jumaat pada jam 11 pagi sementara mahu tunggu masuk waktu solat pada jam 1 tengah hari, kalau tiada sebarang aktiviti ia tak bagi motivasi untuk orang ramai kembali datang menunaikan solat Jumaat pada masa hadapan. Lainlah kalau dalam tempoh menunggu masuk waktu solat Jumaat itu diisi dengan aktiviti seperti kuliah agama dan sebagainya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Raimi turut mengesyorkan agar peniaga makanan dan minuman Islam dibenarkan berniaga di bahagian dalam masjid.
“Benarkan dua atau tiga peniaga makanan dan minuman beroperasi di bahagian dalam pekarangan masjid. Sebab saya tengok golongan peniaga Islam yang beroperasi di luar masjid memang tidak akan sempat untuk turut serta menunaikan solat Jumaat sebab kuota 500 itu sangat cepat dipenuhi sedangkan mereka masih melayan pelanggan ketika itu.
“Satu lagi saya syorkan agar wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditugaskan supaya bersiap sedia di kawasan dalam masjid bagi memantau jemaah solat Jumaat. Tak boleh lepas tangan sepenuhnya kepada ahli jawatankuasa masjid sahaja, sebab mereka bukan dari bidang kesihatan,” katanya.
Seorang kerani, Ahmad Tajuddin Harun, 53, pula melahirkan kekecewaan kerana tidak sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara pada hari ini.
“Saya hadir ke masjid ini (Masjid Negara) tepat pada pukul 12 tengah hari, namun terlalu awal masjid ditutup kepada orang ramai kerana telah melebihi kapasiti 500 orang bilangan jemaah.
“Saya sarankan kepada kerajaan agar menambahkan bilangan kuota jemaah di masjid. Tambahan pula, Masjid Negara mempunyai ruang yang besar untuk para jemaah bersembahyang kerana majoriti yang datang ke masjid sudah lengkap dua dos vaksin dan ramai yang bekerja di pejabat seperti saya tidak boleh datang seawal 11 pagi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat,” katanya.
Terdahulu, kerajaan bersetuju untuk menambah kuota bilangan jemaah solat Jumaat kepada 500 orang dalam Fasa Dua PPN mengikut kesesuaian masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Haji Idris Ahmad, keputusan itu dibuat tanpa mengabaikan SOP yang ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – HARAKAHDAILY 17/9/2021