Tegakkan keadilan, jangan ikut emosi dan sentimen

NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 10)

SEORANG lelaki Ansar bernama Tu’mah bin Ubairiq dari Bani Zafar bin Al-Harith mencuri perisai jirannya Qatadah bin An-Nukman. Tu’mah menyembunyikan perisai itu di rumah seorang Yahudi bernama Zaid bin As-Samin. Perisai tu berada dalam bekas kulit kambing yang kebetulan berisi tepung, Tepung bertebaran keluar dari kulit kambing hingga sampai ke rumah Tu’mah, dan kemudian ke rumah Yahudi itu.

Qatadah mencari perisainya di rumah Tu’mah. Dia bersumpah dusta bahawa dia tidak mengambilnya dan dia tidak tahu mengenainya. Qatadah meninggalkan Tu’mah, menuruti kesan tepung yang bertaburan pergi ke rumah Zaid. Qatadah menemui perisai di rumah Zaid, lalu mengambilnya. Zaid berkata: ‘ Tu’mah bin Ubairiq yang berikan perisai ini kepadaku’.

Advertisement

Kes dibawa kepada Nabi SAW. Tu’mah dan Zaid juga hadir mendengar perbicaraan untuk mengetahui siapa pencuri perisai.

Bani Zafar yang menjadi keluarga Tu’mah mengambil peluang perasaan Nabi SAW terhadap golongan Ansar kerana mereka Islam, sedangkan Zaid itu Yahudi dan musuh mereka untuk menyalahkan Zaid dan melepaskan Tu’mah dari tuduhan mencuri, sekalipun bukti belum lengkap dan perbicaraan belum sempurna sepenuhnya.

Mujurlah Nabi SAW dapat mengawal emosi dan perasaannya, lalu dibimbing kepada kebenaran dan akhirnya melepaskan si Yahudi itu.

Allah menegur Nabi SAW di atas kecenderungan perasaannya itu kepada golongan Ansar, membenarkan Tu’mah dan menyalahkan Zaid si Yahudi itu sebelum sempurna bukti dan perbicaraan kes.

Allah menurunkan ayat Al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat (105)

Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (106)

Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa (107)

Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi Pengetahuan -Nya akan apa yang mereka lakukan (108)

Sedarlah! Kamu ini adalah orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujah membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari kiamat kelak? Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka (dari azab seksa yang disediakan oleh Allah)? (109)

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (110)

Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (111)

Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata (112)

Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad), nescaya berhasilah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar. (113) (An-Nisa’: 105-113)

Beberapa pengajaran yang dapat dipetik:

  1. Tidak salah orang Yahudi tinggal bersama dengan masyarakat Islam, dengan syarat mereka bersedia menuruti kepimpinan Islam yang memerintah.
  2. Golongan Ansar secara umum mempunyai kelebihan di sisi Allah dan Nabi, tetapi di kalangan mereka ada kelompok munafiq yang menyebabkan mereka terlepas dari kelebihan ini.
  3. Islam melarang dari menggunakan sentimen perasaan dan emosi sahaja dalam menjatuhkan hukuman terhadap sesuatu kes.
  4. Orang Yahudi dan Islam dianggap sama sahaja di mahkamah dan di depan hakim.
  5. Bukti kes mesti cukup lengkap dan sempurna sebelum keputusan dijatuhkan siapa yang bersalah.
  6. Nilai universal yang hebat ini mesti dipraktikkan di semua sektor masyarakat, terutama dalam bidang kehakiman dan perundangan. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu