Rakyat perlu hargai khazanah alam semula jadi – Sultan Kedah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN: Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menggesa orang ramai mengambil iktibar daripada fenomena kejadian kepala air Gunung Jerai sebulan lalu.

Titah baginda, rakyat hendaklah lebih menghargai khazanah alam semula jadi, memelihara serta menjaga alam sekitar.

- Advertisement -

Baginda bertitah demikian sempena lawatan ke daerah Yan hari ini bagi meninjau perkembangan serta kesan-kesan akibat kejadian 18 Ogos lalu.

Sempena kunjungan itu, Tuanku Sultan Kedah dipersembahkan taklimat kronologi kejadian oleh Pegawai Daerah Yan, Ketua Polis daerah dan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Kedah.

Menurut Pengelola Bijaya DiRaja, Dato’ Paduka Bakar Din, baginda berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai sempena keberangkatannya.

Sumbangan itu diserah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

“Tuanku Sultan Kedah juga menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi tersebut dan berharap agar mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan tesebut.

“Baginda turut berdoa ke hadrat Allah SWT agar roh mereka yang terkorban dalam tragedi itu ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya pada satu kenyataan. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -