Perpaduan rakyat kunci utama keluar pandemik

Oleh SYAHIRAH SALLEH

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kesatuan rakyat Malaysia merupakan kunci utama untuk negara keluar daripada krisis akibat pandemik Covid-19 ini, kata Pegerusi Rahmat Care, Ustaz Muhammad Ibrahim.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ustaz Mad China berkata, ujian Covid-19 bukan ujian kecil yang hanya memerlukan kepada usaha dan tekad satu pihak.

Katanya, ia memerlukan usaha bersama dari semua pihak supaya matlamat yang dimahukan dapat dicapai dengan jaya.

“Sekarang, peratusan vaksin untuk populasi dewasa hampir menapai 80 peratus, tidak lama lagi, Malaysia akan mencapai imuniti berkelompok.

“Sektor pelancongan mula dibuka, kita bakal hidup dalam norma baharu dan amat hampir untuk berjaya,” katanya mengulas bersempena Hari Malaysia 2021, ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, Hari Malaysia ini boleh menjadi titik permulaan untuk sama-sama kita renungkan bagaimana sebuah perpaduan mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia.

Amat baik sekiranya kesepaduan yang tercetus susulan pandemik ini dapat diteruskan, seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang kukuh dan mampu berdaya saing, katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2021