Peningkatan vaksinasi bantu Kelantan beralih fasa 3

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

- Advertisement -

TUMPAT: Selagi peratus program vaksinasi tidak mencapai tahap yang ditetapkan, Kelantan dianggap sukar untuk beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peningkatan jumlah vaksinasi amat penting bagi mencapai imuniti kelompok yang disasarkan kerajaan.

Katanya, ada negeri yang telah turun kadar jangkitan harian Covid-19, tiba-tiba naik mendadak pula.

“Apa lagi Kelantan masih lagi tinggi sekarang. Jadi rakyat rakyat perlu merebut peluang program walk-in program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin yang dibuka sekarang,” katanya selepas merasmikan pelepasan ‘Kayuh Sehat’ di perkarangan Pusat Khidmat Dun Pasir Pekan di Wisma Ibadurrahman, dekat sini, hari ini.

Program itu dianjur Alternatif Cylin Club (ACC) dengan kerjasama Pemuda PAS Tumpat diadakan sempena sambutan Hari Malaysia.

Hadir Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Tumpat Mohd Hushaimi Husian.

Menteri Besar juga berkata, setiap anggota masyarakat mesti menjaga diri, keluarga sebaiknya walaupun telah cukup dos vaksin.

Beliau turut mengingatkan individu yang belum divaksin supaya tampil dengan sukarela untuk mendapatkan suntikan vaksin sekarang.

Menurutnya juga kayuhan basikal yang dianjurkan Alternatif Cylin Club wajar dijadikan contoh khususnya dalam kalangan anak-anak muda.

“Sambil beriadah anak muda berkenaan turut menyalurkan sumbangan. Mereka turut membaik pulih rumah penduduk berpendapatan rendah di kampung-kampung secara percuma.

“Semangat ini perlu dijadikan contoh oleh semua anak muda di samping beriadah membantu masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -