PAS Nibong Tebal bantu mangsa ribut

- Advertisement -

Oleh NAZRI ABD HAMID | Foto ISWARDI ISMAIL

NIBONG TEBAL:
PAS Kawasan Nibong Tebal menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di sini, semalam.

Yang Dipertua PAS kawasan, Nor Zamri Latiff bersama AJK Khidmat Malaysia serta badan bukan kerajaan (NGO) Alternatif 4×4 Club turut hadir.

Turut serta ialah Pengarah NGO Alternatif 4×4 Club(A4C), Fadzil Baharom, Ketua Pemuda PAS Zulazhar Mohamad dan AJK Muslimat PAS kawasan, Musalmah Yusop.

- Advertisement -

Program penyampaian sumbangan itu susulan ribut kencang yang melanda beberapa kawasan di negeri ini minggu lepas menyebabkan banyak kediaman penduduk rosak.

Sebanyak 27 kediaman mengalami kerosakan struktur dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2.30 petang iaitu 23 buah di Taman Tasek Maju dan empat di Kampung Tasek Chempedak.

“Kami menyerahkan bantuan awal bagi bencana ini berupa hamper barangan dapur dan wang tunai daripada Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Nibong Tebal dan NGO A4C yang diwakili oleh Pengarah Alternatif 4×4 Club (A4C), Fadzil Baharom,” kata Nor Zamri.

Katanya, selain rumah penduduk, hujan lebat dan angin kencang turut mengakibatkan pokok tumbang dan tiang elektrik mengalami kerosakan.

Seorang mangsa di Taman Tasek Maju, Ellias Man, 60, berkata semasa kejadian, beliau sedang bekerja di luar mendapat panggilan telefon daripada jiran mengenai ribut yang melanda kawasan perumahannya.

Beliau bergegas pulang untuk melihat situasi rumahnya dan mendapati sebahagian bumbung rumah serta siling tercabut.

“Kejadian ribut petir beserta hujan lebat mengakibatkan banyak rumah kejiranannya mengalami kerosakan bumbong dan pokok tumbang,” ujarnya.

Pesara kerani POS itu berkata, beliau bersyukur dengan sumbangan yang diterima kerana dapat meringankan bebanan keluarganya dan memuji sikap prihatin PAS Kawasan Nibong Tebal. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -