PAS DUN Ketari jengah warga Janda Baik

- Advertisement -

BENTONG: PAS DUN Ketari dan PAS Cawangan Janda Baik telah mengadakan ziarah dan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk yang menjalani kuarantin COVID-19 di kediaman masing-masing.

Penyelaras DUN Ketari, Ustaz Roslan Md Esa dan Ketua PAS Janda Baik, Syariffudin Ali telah berkunjung dari rumah ke rumah termasuk ke atas warga yang sakit dan orang kelainan upaya (OKU) di Janda Baik, di sini semalam.

“Untuk bulan ini sahaja, sudah lebih dua kali PAS DUN Ketari mendaki Banjaran Titiwangsa ini bagi menyantuni warga Janda Baik. Ini sebagai kecaknaan PAS dan bersedia membantu sesiapa sahaja, walau di bukit mana mereka berada.

- Advertisement -

“Ramai orang sanggup naik ke Janda Baik untuk berkelah dan berlibur tetapi PAS berulang-alik ke sini bekerja melunaskan tanggungjawabnya membantu rakyat,” ujar Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Pahang itu.

Menurutnya, pada 12 September lalu PAS DUN Ketari dan PAS Janda Baik turun padang menyerahkan bantuan berupa barang makanan kepada penduduk dan sebelumnya pada 26 Ogos menyantuni masyarakat Orang Asli (OA) di Kampung Chemperoh. 

Menarik pada usaha penyerahan sumbangan kali ini, pasukan PAS ditemani rakan Muafakat Nasional iaitu anggota Pergerakan Puteri Umno yang turut sama menyantuni warga penduduk.

“Usaha bersama ini sesuatu yang amat baik. PAS sebagai ‘King Maker‘ perpaduan, sentiasa berusaha mencari jalan bagaimana untuk membina kekuatan dan memperkukuhkan ikatan.

“PAS dari dulu hingga kini, amat berbesar hati bekerja bersama-sama dengan sesiapa sahaja dalam perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada agama dan negara.

“PAS konsisten. Matlamat kita, perpaduan ummah mesti diutamakan. Politik hari ini adalah politik yang menyatupadukan dan kita semua mesti positif mendamaikan dan terus kekal bersatu selari dengan semangat Keluarga Malaysia,” ujar Ustaz Roslan selaku Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong.

Puteri Umno diwakili ketua Puteri Umno Cawangan Janda Baik, Anis Liyana Mustafa dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa Umno Janda Baik. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -