Lantik Timbalan Speaker 3 langkah tepat reformasi Parlimen

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pindaan untuk wakilkan seorang pembangkang memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertua (YDP) Dewan merupakan satu langkah terkehadapan yang perlu disambut baik oleh semua pihak.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata ini kerana institusi Parlimen merupakan institusi tertinggi yang harus menjunjung prinsip semak dan imbang.

Katanya, telah lama prinsip pengasingan kuasa dan semak-imbang lesu di Malaysia lantaran situasi politik masa dahulu tidak memberi tekanan yang kuat untuk dilakukan reformasi Parlimen.

Bagaimanapun katanya, kehendak kepada proses semak dan imbang serta ketelusan dalam institusi pembuatan undang-undang egara semakin menyerlah bermula PRU10 (Pilihan Raya Umum ke-10) dan terus membara sehingga ke hari ini.

Tambah beliau rakyat juga mula sedar akan kepentingan semak dan imbang serta bagaimana suara wakil rakyat mereka dapat didengari dan diambil cakna dengan lebih berkesan.

“Rakyat mula mendesak agar YDP Dewan bersikap neutral, tidak memihak dan tidak menunduk kepada pemerintah,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pindaan untuk membuka pintu kepada wakil pembangkang menjadi Timbalan YDP itu merupakan satu langkah reformasi Parlimen yang menunjukkan kematangan berpolitik Malaysia, dan kesediaan mengiktiraf suara pembangkang.

“Perbahasan dan pengundian serta hak bersuara melalui Private Bill diharap akan lebih bermutu demi keuntungan rakyat,” katanya ketika dihubungi, di sini, pada Rabu.

Pada 11 September lepas, calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Ahmad Maslan menggariskan 20 cadangan transformasi Parlimen sekiranya dipilih menjawat jawatan itu.

Setiausaha Agung Umno itu turut mencadangan agar mewujudkan seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua (Timbalan Speaker) menjadikannya tiga orang.

“Timbalan Speaker ketiga dikhususkan untuk wakil Pembangkang. Sementara itu, satu daripada tiga Timbalan Speaker seeloknya daripada Sabah atau Sarawak,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -