Hasrat wujudkan Kelas Digital dikemuka kepada ADUN

- Advertisement -

KUALA KRAU: Guru Besar Sekolah Kebangsaan FELDA Jengka 16, Rosni Ismail bersama delegasi guru-guru Penolong Kanan (PK) sekolah itu telah membuat kunjungan hormat dan menghantar kertas cadangan ke Pejabat Pusat Khidmat DUN Jengka, di sini semalam.

Menurut Rosni, antara cadangan yang dikemukakan pihaknya kepada perhatian dengan harapan mendapat dukungan daripada pihak ADUN Jengka serta pihak berkaitan adalah hasrat untuk mewujudkan kelas digital di sekolah tersebut.

- Advertisement -

“Kelas ini berkonsepkan bilik darjah yang lengkap dengan komputer, koridor raya multimedia dengan capaian internet dan amalan pembelajaran kendiri serta inkuiri penemuan yang kondusif.

“Pengajaran akan menjadi lebih efektif dan berkesan serta mampu menggalakkan minat pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritis selari dengan objektif kewujudannya,” ulas beliau menjelaskan antara kepentingan kelas tersebut.

Terang beliau lagi, Sekolah Kebangsaan FELDA Jengka 16 juga akan mewakili Daerah Maran di dalam Pertandingan Anugerah Pusat Sumber Sekolah Peringkat Negeri Pahang yang bakal berlangsung pada bulan Oktober ini.

ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) melibatkan perkongsian kerjasama maklumat antara sekolah tersebut dengan pusat khidmat beliau.

“Saya amat berbesar hati apabila SK Jengka 16 sudi memilih Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jengka sebagai rakan kongsi maklumat pendidikan.

“Ini membuktikan tahap keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap PAS adalah tinggi dan PAS telah berjaya membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti yang boleh dipercayai,” ujar Ustaz Shahril usai pertemuan.

Turut bersama di dalam rombongan tersebut adalah PK (Pentadbiran), Rosnizam Mohamad dan PK (Hal Ehwal Murid), Paziah Singah serta wakil Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Rosalinda Ahmad. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -