Hari Malaysia: Nilai ‘Keluarga Malaysia’ warnai kehidupan rakyat Sabah

Datuk Seri Hajiji Noor
- Advertisement -

SABAH sekali lagi menjadi tuan rumah kepada Sambutan Hari Malaysia pada hari ini, 16 Sept 2021.

- Advertisement -

Bersempena dengan hari penuh bersejarah ini, Bernama menemu bual Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor bagi mendalami makna Hari Malaysia serta nilai Keluarga Malaysia di hati rakyat Negeri Di Bawah Bayu Sabah.

KOTA KINABALU: Sifat keterbukaan rakyat Sabah tanpa mengira kaum, etnik, warna kulit, agama atau latar belakang adalah antara warisan zaman berzaman yang terbukti teguh memupuk keharmonian hidup masyarakat Negeri Di Bawah Bayu ini.

Pelbagai perbezaan ini jugalah yang mewarnai kehidupan mereka sehingga mampu membentuk sebuah keluarga besar yang cekal mengharungi serba-serbi liku cabaran bersama.

Maka apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan konsep Keluaraga Malaysia, sudah semestinya rakyat Sabah menguntumkan senyuman kerana nilai asas kebersatuan dalam kepelbagaian itu sudah sebati dalam kehidupan mereka.

Bernama berkesempatan untuk berkongsi pandangan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dalam memperincikan nilai Keluarga Malaysia dan kepentingannya kepada rakyat Sabah serta natijah penubuhan persekutuan Malaysia pada tahun 1963 yang disambut saban tahun sebagai Hari Malaysia.

Keluarga Malaysia

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berpandangan, nilai kekeluargaan serta kebersatuan dalam kepelbagaian itu penting bagi membolehkan Sabah terus melangkah serta pesat berkembang maju seiring dengan perancangan pembangunan Malaysia.

“Jangan terkejut jika dalam sebuah keluarga di Sabah ada pelbagai latar belakang, seperti satu keluarga itu ada yang menganuti agama yang berlainan seperti agama Islam dan Kristian. Ini biasa dalam kehidupan rakyat negeri ini.

“Sememangnya di Sabah, nilai kekeluargaan ini sudah lama bersemi, justeru apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memperkenalkan konsep Keluarga Malaysi, ia amat menepati ciri kehidupan di Sabah serta memperkuatkan lagi kesatuan kita semua,” katanya dalam tembu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Dalam menyokong penuh konsep Keluarga Malaysia, menurut Hajiji, 65,  kebersatuan sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, mahupun perbezaan politik itu amat berharga apabila secara bersama semua pihak mendukung kepentingan negara dan rela berkorban untuk tanah air tercinta.

Menyingkap kembali kedudukan Sabah bersama Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, beliau berkata, ia bagaikan menyertai sebuah keluarga besar, membangun serta menempuh cabaran bersama dan kini setelah 58 tahun berlalu, Sabah menikmati banyak kelebihan.

Menurut beliau, 58 tahun lalu, Sabah begitu mundur dengan pelbagai kekurangan seperti jalan raya serta kemudahan asas yang lain.

Namun, tegas beliau, di sebalik pelbagai kekurangan, nilai kekeluargaan serta budaya sopan santun tetap menjadi keistimewaan rakyat Sabah yang “tidak lapuk dek hujan dan lekang dek panas.”

Apabila Sabah membangun dan menjadi moden bersama Malaysia, nilai kekeluargaan serta dan sopan santun itu tetap terpahat dalam diri rakyat Sabah, justeru nilai ini harus dikekalkan serta dipupuk terutama dalam kalangan generasi muda Sabah serta seluruh negara.

“Dahulu dan kini jauh berbeza, tetapi suasana ketika dahulu tidak boleh kita lupakan. Kita harus ambil pengajaran daripada apa yang sudah berlaku dan terus memacu agenda pembangunan serta ekonomi semua rakyat, dalam mencapai impian kesejahteraan bersama, ” katanya.

Seperti peribahasa ‘bersatu teguh bercerai roboh’, Sabah menjadi kukuh apabila bersama Malaysia dengan menikmati pelbagai peluang, selain dilihat akan terus maju ke hadapan, sehingga mampu bersaing di peringkat global dalam semua segi termasuk pendidikan dan bidang teknologi.

“Kita adalah sebuah negara dan kita tidak boleh ketinggalan daripada negara lain. Inilah yang harus kita pacu bersama supaya dalam Keluarga Malaysia ini Sabah kekal bersama Malaysia, keselamatan kita terjamin, begitu juga perpaduan kaum, serta nikmat sosial untuk kebaikan semua,” katanya.

Perjanjian Malaysia 1963

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah suatu perjanjian penting yang membawa kepada pembentukan Persekutuan Malaysia iaitu gabungan Persekutuan Tanah Melayu bersama wilayah Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura. Detik bersejarah yang dilakar pada tahun 1963 demi menjaga kepentingan bersama.

Menurut Hajiji, peranan Kerajaan Persekutuan sebagai anggota keluarga itu dilihat amat positif dalam memenuhi segala perkara dalam perjanjian tersebut terutama apa yang sepatutnya diperoleh oleh Sabah menerusi pelbagai mekanisma antaranya penubuhan jawatankuasa peringkat persekutuan.

“Sekarang ini ada jawatankuasa peringkat Persekutuan dipengerusikan Perdana Menteri dan saya juga sebagai Ketua Menteri Sabah duduk bersama dalam jawatankuasa itu membincangkan perkara antaranya tuntutan Sabah menerusi MA63.

“Kita berharap agar sebarang isu mahupun permintaan Sabah yang tertunggak dapat dibincang dan dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya oleh Kerajaan Persekutuan, ” katanya.

Beliau berkata, apa yang dituntut oleh Sabah mempunyai suatu niat yang baik untuk kebaikan bersama dan perlu dibincang dalam semangat sebuah Keluarga Malaysia bagi membolehkan Sabah dapat mencapai peningkatan infrstruktur seperti negeri lain.

“Infrastruktur seperti jalan raya luar bandar dan kemudahan telekomunikasi masih belum diterima rakyat di pedalaman dan kawasan pulau. Ini menjadi keutamaan kita sebagai Keluarga Malaysia, ” katanya.

Mengulas usaha memajukan Sabah, Hajiji berkata, setelah menerajui Kerajaan Negeri Sabah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggagaskan Halatuju Sabah Maju Jaya bagi memandu usaha memajukan Sabah dan kini dalam fasa 1.0 untuk tempoh 2021 hingga 2025.

Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata, Halatuju Sabah Maju Jaya adalah penting bagi memandu kerajaan negeri mengotakan segala janji kepada rakyat Sabah yang dibuat pada Pilihan Raya Negeri Sabah tahun 2020.

Menurut beliau, ketika mula mengambil alih pentadbiran, Sabah dibelenggu pelbagai cabaran akibat Pandemik Covid-19 dengan keadaan ekonomi terhenti, perniagaan serta sempadan ditutup dan kehidupan rakyat amat terkesan.

“Halatuju Sabah Maju Jaya merangkumi segalanya dan dapat memangkin pemulihan Sabah. Kita pulihkan keadaan ekonomi kita dan tetapkan halatuju pembangunan.

“Ini menjadi fokus kita, untuk beri keutamaan pulihkan pelbagai sektor terutama ekonomi. Saya yakin dengan hala tuju yang diperkenalkan, Sabah akan maju seperti mana kita janjikan kepada rakyat,” katanya.

Kesan pandemik Covid-19

Nilai sebuah keluarga yang sanggup bersama, walaupun terpaksa meredah gelombang besar, dapat dilihat apabila negara dilanda Pandemik Covid-19, dan Sabah adalah antara negeri yang teruk terkesan dengan penularan koronavirus yang boleh membawa maut itu.

Hajiji berkata, walaupun berhadapan cabaran getir itu, Malaysia secara bersama tekad mencari jalan penyelesaian dan Kerajaan Persekutan bersama negeri lain saling bantu-membantu sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

Menurut beliau lagi, kesungguhan Kerajaan Persekutuan, antaranya terserlah dengan pembekalan lebih 2.89 juta dos vaksin Covid-19 ke Sabah pada bulan September ini yang akan melancarkan usaha Sabah mencapai sasaran 60 peratus orang dewasa divaksin bulan ini.

Selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pemberian vaksin itu adalah langkah terbaik dalam mengekang penularan Covid19 di Sabah dan kerajaan negeri sedang berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai sasaran imuniti kelompok 80 peratus orang dewasa divaksin menjelang Oktober 2021.

“Kita adakan program outreach, pergi ke kampung pedalaman juga pulau terpencil untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada rakyat kita bagi melindungi mereka supaya akhirnya nanti kita dapat memberi ruang pembukaan ekonomi lebih luas dan memulihkan hidup rakyat..

“Namun, sekali lagi kita perlu berbalik sebagai sebuah keluarga kerana ini memerlukan sokongan semua termasuk rakyat sendiri mematuhi SOP dan memberi kerjasama dengan datang ke pusat pemberian vaksin dan segera dapatkan vaksin,” katanya.

Hajiji berharap Sabah dapat mencapai paras lebih 90 peratus rakyatnya diberikan vaksin menjelang akhir tahun 2021 bagi memulihkan pelbagai sektor antaranya pelancongan yang dapat memberi impak besar kepada ekonomi rakyat.

“Melihat segala usaha yang dilakukan ini, saya yakin kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia, dapat menangani cabaran Covid-19 ini, ” katanya.

Hari Malaysia

Di sebalik cabaran serta kekangan akibat Covid-19, Hari Malaysia pasti disambut meriah dengan norma baharu dan pematuhan SOP.

Menurut Hajiji, Hari Malaysia cukup bersejarah bagi meraikan Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah keluarga yang merdeka serta memperingati jasa pemimpin terdahulu, yang harus dihargai terutama generasi seterusnya.

“Inilah harapan, doa kita rakyat Malaysia khususnya di Sabah bahawa negara yang kita cintai ini akan terus aman, damai, tenteram dan punyai harapan yang tinggi untuk masa depan hidup bersama sebagai keluarga, setiap rakyat tanpa mengira suku kaum, keturunan atau agama mereka,” katanya sambil menambah, pada masa ini, sambutan Hari Malaysia diadakan di Sabah dan Sarawak secara bergilir.

Beliau berkata, pada masa hadapan sebagai sebuah Keluarga Malaysia, lebih manis sekiranya Semenanjung disertakan dalam giliran itu bagi menggambarkan sejarah Malaysia sebagai sebuah negara secara keseluruhannya.

Hajiji berkata, rakyat Sabah amat berbangga apabila negeri itu dipilih sebagai tuan rumah sambutan tahun ini dan kemeriahan itu tetap ada walaupun disambut dalam keadaan norma baharu.

Sambutan Hari Malaysia dijadual berlangsung pada 16 September di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dengan penampilan pelbagai elemen melibatkan sejarah, budaya dan pencapaian negara bagi memperingati Hari Malaysia detik bersejarah dalam hidup rakyat Malaysia.

“Kita harus berbangga dan mengingati detik sejarah kita disatukan sebagai sebuah keluarga. Kita kini dalam sebuah Keluarga Malaysia, bersatu dalam pelbagai perbezaan. Marilah bersama kita hargai semuanya ini kerana kita ada hanya sebuah negara iaitu Malaysia,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -