LIPIS: PAS Kawasan Lipis telah menziarahi satu keluarga yang si ibu dan dua anaknya menanggung ujian kesihatan sejak sekian lama di mana memerlukan keprihatinan untuk dibantu meringankan beban mereka.
Nor Hapidah Abdul Wahib, 44, disahkan sebagai pesakit ‘slip disc‘ di mana tulang belakang membengkok dan fibrous dysplasia iaitu tulang mereput hingga pernah beberapa kali patah tulang kaki dan rusuk kerana terjatuh.
Beliau yang sebelum ini bekerja mengambil upah menjahit pakaian wanita di Padang Tengku, bagaikan ‘jatuh ditimpa tangga’ apabila tidak lagi dapat bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sakit dialaminya.
Oleh itu, beliau yang tinggal bersama tiga anaknya terpaksa mengharapkan bantuan keluarga untuk meneruskan kehidupan di mana kini menumpang di kediaman ibu bapanya di Kampung Dusun, Kechau, di sini.
Penderitaan dialaminya itu sejak berusia 12 tahun semakin menekan apabila anaknya turut disahkan doktor dengan masalah kesihatan juga apabila Nur Husniah Soolehah Mohd Hazrelli, 9, menghidap alahan teruk dan selalu sesak nafas.
Keadaan itu boleh membahayakan nyawanya, selain turut mempunyai masalah sendi, mata dan amat memerlukan rawatan susulan pakar yang menyebabkan Hapidah amat memerlukan kewangan bagi tujuan itu.
Kerana seorang lagi anaknya, Nur Husniah Salasiah Mohd Hazrelli, 13, juga memerlukan rawatan susulan disebabkan masalah sendi dialami di mana memerlukan rawatan fisioterapi berkala, selain penyakit lain yang belum dikenal pasti.
Pimpinan PAS Lipis iaitu Yang Dipertua, Roslan Zainal hadir melihat sendiri derita ditanggung anak-beranak ini bersama Ketua Ulamak, Ishak Sat dan Ketua Muslimat, Khatijah Jamal serta Pengerusi Lajnah Kebajikan, Hasanah Ludin.
Roslan melahirkan harapan dengan sedikit bantuan diberi dapat melegakan kesusahan keluarga ini dan menyeru orang ramai untuk sama menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung mereka.
Segala sumbangan boleh terus disalurkan ke akaun Maybank 1561 1430 0218 Nor Hapidah Abdul Wahid atau hubungi beliau sendiri di talian 019-3813098. – HARAKAHDAILY 16/9/2021