Bakal mahasiswa terima sumbangan komputer riba

- Advertisement -

KUALA KRAU: ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah menyumbangkan komputer riba kepada lima bakal mahasiswa yang akan melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Serahan langsung kepada penerima telah dibuat beliau sempena Hari Bertemu Masyarakat yang menjadi rutinnya setiap minggu pada hari Rabu di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jengka, di sini semalam.

- Advertisement -

“Kita menyedari bahawa komputer riba ini merupakan keperluan yang penting pada diri seorang pelajar lebih-lebih lagi bagi yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kebanyakan tugasan dan portfolio perlu disiapkan dengan kadar yang segera dan biasanya pensyarah di institusi pengajian menghendaki tugasan yang lebih kemas dan tersusun rapi mengikut kriteria yang telah ditetapkan,” ujar beliau.

Salah seorang penerima, Mohd Shahrizan Said dari FELDA Jengka 21 yang akan melanjutkan pelajaran ke Kolej Vokasional Sungai Petani, Kedah memanjatkan rasa syukur di atas sumbangan ini.

“Kursus yang saya ambil amat memerlukan kemudahan komputer riba ini. Saya rasa amat terharu dan ingin merakamkan ucapan penghargaan tidak terhingga kepada YB Ustaz di atas sumbangan ini,” ujar Shahrizan.

Sementara itu, Komander AMAL Kawasan Kuala Krau, Azaidi Ishak pula menerima sumbangan wang tunai bagi membeli peralatan seperti bot dan jaket keselamatan sebagai persediaan menghadapi fenomena banjir penghujung tahun ini.

“Dua peralatan ini merupakan keperluan yang penting bagi Jabatan Amal. Umum mengetahui bahawa peranan Jabatan Amal atau yang beruniform merah hati ini sangat besar tugasnya.

“Seperti contoh baru-baru ini, peristiwa anak air yang berlaku di Kedah. Kebanyakan yang membantu tidak kira penat dan lelah, susah dan senang dan biarpun berhadapan dengan jerih perih, semuanya dapat dilakukan dengan baik sekali oleh pasukan AMAL. Tahniah dan syabas diucapkan,” ulas Azaidi bangga.

Hari Rabu telah diperuntukkan oleh YB Ustaz Shahril ibarat hari bertemu pelanggan dan semua lapisan masyarakat berpeluang melontar dan meluahkan sebarang permasalahan, bahkan memohon sumbangan keperluan diri dan keluarga.

“PAS DUN Jengka berusaha membantu apa termampu dan harapan saya, semoga sumbangan-sumbangan ini dapat diguna dan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh setiap penerima,” ujar Ustaz Shahril. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -