UniMAP kenal pasti pelajar belum terima vaksin

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar kembali ke kampus secara berperingkat mulai pertengahan Oktober ini.

Mereka disyarat mendapat suntikan lengkap dos vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan. Kebenaran serupa juga diberi kepada kakitangan akademik dan bukan akademik.

Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, UniMAP secara dasar bersedia menerima pelajar tempatan dan antarabangsa kembali ke kampus dengan melakukan persiapan rapi, kini di fasa akhir.

- Advertisement -

Katanya, sehingga 14 September sebanyak 88 peratus pelajar dan 94.11 peratus staf UniMAP menerima suntikan vaksin.

“Kami juga memperkukuhkan prosedur operasi standard (SOP) di kampus bagi mengawal penularan pandemik dengan menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 kepada pelajar yang akan kembali ke kampus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad dilapor berkata, lebih 1.2 juta pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober.

Menurutnya kemasukan pelajar yang lengkap divaksin melibatkan semua kategori, di mana keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

Dr Zaliman juga berkata, UniMAP turut menambahbaik fasiliti pusat pengasingan di universiti bagi mengurusn kes bergejala atau jangkitan.

Katanya juga pengurusan UniMAP mempergiat usaha menghubungi pelajar yang belum menerima suntikan vaksin supaya pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran rumah mereka.

“Universiti mengenal pasti seramai 1035 pelajar masih belum menerima vaksin atas beberapa faktor.

“UniMAP memanjangkan maklumat pelaksanaan suntikan vaksin secara ‘walk-in’ di mana-mana PPV kepada pelajar lama dan baharu,” ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau bagi segelintir pelajar yang tidak berminat menerima suntikan, UniMAP akan menggunakan mekanisme bersesuaian bagi mengenal pasti situasi sebenar pelajar terbabit.

Menurutnya juga UniMAP menggunakan pelbagai medium komunikasi bagi penyaluran informasi dan tatacara kemasukan pelajar dalam usaha memastikan pembentukan persekitaran selamat dan imuniti kelompok di kampus.

“Bagi memastikan 100 peratus pelajar dan staf lengkap menerima vaksin, UniMAP menggunakan beberapa pendekatan termasuk menyediakan perkhidmatan bas untuk pelajar di kampus mendapatkan vaksin di PPV,” ujarnya.

Dr Zaliman juga berkata, pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada pelajar tempatan dianggap langkah tepat bagi membantu pelajar dan keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -