Titik persamaan menyatukan ummah

Oleh AKID HAFRIZ

KUALA TERENGGANU: Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ke-14 merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan barisan kabinet baharu atas penubuhan kerajaan Persekutuan sekali gus menamatkan krisis politik dalam negara.

Usul ucapan tahniah itu diumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi di Wisma Darul Iman, semalam.

Advertisement

“Pertikaian, permusuhan serta ideologi politik yang berlainan tidak semestinya akan membawa kepada perpecahan.

“Sebaliknya jika dicari titik persamaan berpandukan al-Quran dan As-Sunnah, terdapat banyak persamaan yang menjerumus kepada perpaduan dan kekuatan ummah.

“Justeru, marilah sama-sama kita mengambil iktibar akan peristiwa yang berlaku dan mengukuhkan kembali perpaduan di samping memberikan contoh tauladan yang baik kepada rakyat jelata,” kata Muhammad Khalil dalam ucapan pembentangan usul terbabit.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas segala usaha dan jasa kepada negara terutama dalam mendepani wabak Covid-19.

Tambahnya, beliau percaya kerajaan Persekutuan yang baru di bawah kepimpinan Ismail Sabri akan memberikan yang terbaik dalam usaha untuk memulihkan ekonomi negara, mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat serta negara. – HARAKAHDAILY 15/9/2021