Tingkatkan taraf perhubungan darat Pantai Timur

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menyusun semula sistem ekonomi negara pasca pandemik Covid-19 berikutan kelompangan dalam agihan kekayaan negara.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berpendapat agihan kekayaan negara masih tidak adil dengan negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak, dilihat agak diabaikan dari sudut kekayaan ekonomi.

- Advertisement -

Justeru itu, beliau mencadangkan kerajaan menaik taraf lebuh raya yang menghubungkan Pantai Timur dengan negeri lain seperti Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Jeli-Gerik, serta menyelenggara lebuh raya yang menghubungkan Gua Musang dan Cameron Highland.

Katanya, usaha kerajaan pada Ogos tahun lepas untuk memberikan peruntukan awal kepada Fasa 3 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), suatu pendekatan yang sangat baik.

“Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan dengan peruntukan RM35 juta yang diawalkan untuk kita melihat dan mengkaji peluang memulakan projek LPT 3.

“Selain itu, saya mengajak kerajaan untuk melihat cara memperkasakan lagi satu lagi lebuh raya yang sudah lama usianya, bermula tahun 70-an, dan siap pada tahun 80-an, iaitu Lebuh Raya Timur Barat,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja, di Dewan Rakyat, hari ini

Mohd Khairuddin berkata, lebuh raya antara Jeli ke Gerik perlu diperluaskan kerana akan membuka peluang ekonomi yang baik untuk negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Pada masa sama, katanya lebuh raya sedia ada dari Gua Musang ke Cameron Highland mesti dipastikan sentiasa diselenggara dengan baik untuk memastikan ekonomi sentiasa berkembang.

Katanya, sistem lebuh raya, kereta api dan lapangan terbang melibatkan dua negeri, Kelantan dan Terengganu, mesti diberikan peruntukan khas untuk memastikan kekayaan ekonomi boleh berkembang di dua negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -