Pengusaha pelancongan di Langkawi terima banyak tempahan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Langkah kerajaan membuka semula sektor pelancongan di Langkawi kepada pelancong mulai esok dianggap mampu mengatasi kelesuan industri berkenaan sebelum ini.

Sekarang kebanyakan sektor pelancongan di pulau lagenda itu lumpuh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19 sejak tahun lepas.

Kegembiraan itu dikongsi ramai penggiat sektor berkenaan di Langkawi dan Kedah.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif HIG Holding, Azizan Ismail berkata, langkah kerajaan membuka semula sektor pelancongan di Langkawi melegakan sektor perniagaan, perhotelan, homestay, kereta sewa, teksi, Grab dan pelbagai lagi.

Azizan Ismail

Katanya, sehingga sekarang industri tersebut hampir lumpuh akibat PKP.

“Saya mengalu-alukan keputusan tersebut kerana ia bakal merancakkan kembali perniagaan dan industri pelancongan di pulau tersebut.

“Saya mengucap terima kasih kepada kerajaan kerana memilih Langkawi sebagai pulau yang pertama dibuka program gelembung pelancongan,” kata beliau ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato’ Seri Nancy Shukri memberitahu inisiatif gelembung pelancongan di Langkawi akan bermula 16 September bakal dijadikan penanda aras dalam usaha memperluaskan program berkenaan.

Oleh itu beliau menasihatkan individu atau keluarga yang ingin melancong ke Langkawi, menjadi pelancong yang bertanggunjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana ia bakal menentukan nasib sektor pelancongan negara.

Azizan juga berharap SOP perlu diperketatkan untuk mengelak implikasi memandangkan kes Covid-19 di pulau itu masih tinggi sekarang.

“Kedua-dua pihak sama ada pengunjung atau pemilik hotel, rumah tumpangan, teksi dan mesti peka dengan SOP yang disarankan.

“Selain itu perlu mengadakan sanitasi di premisnya selain mengekalkan cara normal baharu dengan memakai pelitup muka, penjarakan, tidak bersentuhan dan yang bergejala tidak perlu keluar rumah,” tambahnya.

Kata beliau juga pengunjung ke Langkawi wajar diadakan swab test di pintu masuk di mana kosnya sama ada ditanggung sendiri atau kerajaan.

Menurutnya juga hotel miliknya kini hampir penuh ditempah pengunjung terutama untuk November dan Disember, manakala pasaraya HIG akan beroperasi seperti biasa.

Faisol Ayob

Pemilik Moonlightbay (L) Vacation Sdn Bhd, Faisol Ayob berkata, keputusan membuka pelancongan ke Langkawi diharap dapat memulih kembali industri pelancongan di pulau itu.

Sedangkan katanya sebelum ini pengusaha terbabit ‘zero income’ akibat pelaksanaan PKP.

“Yang penting jaga SOP. Pemilik kereta sewa perlu sanitasi kenderaan setiap kali selepas diguna atau dipulangkan pelanggan,” kata beliau yang 20 tahun berpengalaman dalam perniagaan kereta sewa di Pulau Mahsuri itu.

Beliau juga berkata, sebelum ini tiada peningkatan kes Covid-19 di langkawi walaupun akhir tahun lepas pengunjung masuk dan keluar melalui feri. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -