PAS rakam takziah kepada keluarga TG Pak Teh Mad

KUALA LUMPUR: PAS melahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Tuan Guru Dato’ Ahmad Muhammad Nor (Pak Teh Mad) yang telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.57 pagi tadi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, Almarhum yang merupakan ulama tertua di negeri Kedah, adalah pengasas Madrasah Ahmadiah di Padang Terap yang ditubuhkan pada tahun 1961.

Advertisement

Menurutnya, hasil usaha Almarhum, pondok tersebut berkembang maju dengan memiliki 180 buah pondok yang menempatkan pelajar lelaki, pelajar perempuan dan warga emas.

“Pemergian Almarhum merupakan kehilangan yang amat besar buat warga institusi pondok dan negara khususnya bagi negeri Kedah.

“Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan roh Almarhum dalam kalangan para solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. – HARAKAHDAILY 15/9/2021