Paip pecah selepas krisis air pulih

- Advertisement -

SETELAH bekalan air di Kuala Nerus kembali pulih, saya difahamkan SATU telah menjangkakan akan berlaku banyak kes paip pecah ekoran tempoh yang lama air tiada dalam paip dan paras air yang agak tinggi berada dalam tangki menyebabkan berlakunya tekanan terhadap paip-paip lama.

Banyak kes yang berlaku di kedudukan paip yang menggunakan paip jenis Asbestos Cement (AC). Paip jenis ini lazimnya berumur 30-40 tahun. Pengawalan tekanan air telah dilakukan oleh SATU untuk melihat kestabilan dan aduan paip bocor atau pecah perlu dilaporkan segera kepada pihak SATU untuk dilakukan kerja-kerja pembaikan secara kadar segera.

- Advertisement -

Antara beberapa kes yang terjadi adalah di Tok Jembal pada 12 September 2021 yang melibatkan paip AC 8” telah menjejaskan 298 akaun, pada 14 September 2021 yang melibatkan paip AC 10” di sekitar Tepoh atau Bukit Cempaka telah menjejaskan 255 akaun dan pada tarikh yang sama di Taman Desa Pusu Tiga yang melibatkan paip HDPE 6” telah menjejaskan 125 akaun.

Setakat yang saya lihat corak graf paras Tangki Berangan yang mencecah 6.4m, ia telah menyumbang berlakunya tekanan yang tinggi terutama pada waktu malam. Kesan daripada tempoh yang lama paip tidak menerima air, ia turut menyumbang berlaku perubahan tekanan dan memungkinkan paip sedia ada akan pecah atau bocor. Tindakan segera adalah mengawal sedikit aliran dari LRA Bukit Berapit agar paras air tangki tidak terlalu tinggi.

Saya kongsikan info ini untuk maklumat semua penduduk hasil perbincangan saya dengan pihak SATU. Sekali lagi, jika kita mengetahui berlaku paip pecah, pohon segera memaklumkan kepada pihak SATU untuk proses pembaikan segera.

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan & NGO Kerajaan Negeri Terengganu
ADUN Tepoh – HARAKAHDAILY 15/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/430148807009022/posts/4634336266590234/

- Advertisement -